Ahad, Oktober 09, 2011

Musim Haji Dah Tiba...

Minggu ini beberapa orang kawan telah menerima jemputan menjadi tetamu Allah menunaikan Rukun Islam yang kelima . Mereka telah pun berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan haji. Ada yang naik kapalterbang di Pulau Pinang dan ada yang naik di KLIA. Aku sempat bertemu dengan mereka sebelum  mereke "turun rumah" sambil bermaaf-maafan dan mengucapkan selamat berangkat dengan iringan doa semoga selamat pergi dan selamat kembali. Dan yang lebih penting, semoga mereka memperolehi haji yang mabrur.


Teringat masa aku kecil-kecil dulu pada tahun 60an, jika ada orang kampung hendak menunaikan haji, maka penduduk kampung akan sewa bas dan ramai-ramai hantar ke Pelabuhan Pulau Pinang. Pada masa tersebut jemaah kena naik kapal laut untuk ke Makkah. Kapal haji akan berlabuh dekat dengan Padang Kota Lama, Pulau Pinang. Kami akan bertolak awal sehari dan bermalam di sekitar Padang Kota Lama. Ramai betul orang yang menghantar, bayangkan seorang pergi, yang menghantar sampai satu bas.


Oleh kerana perjalanan dengan kapal laut mengambil masa yang panjang, setiap jemaah haji akan membawa bekalan makanan, periuk belanga dan pakaian yang banyak. Semua benda-benda itu akan  dimasukkkan dalam kotak kayu. Kotak kayu itu di panggil 'Tong Sahara'.
Saat yang paling sedih dan  sayu ialah ketika azan dilaungkan beberapa saat sebelum kapal bergerak. Perlahan-lahan kapal meninggalkan pelabuhan dan sanak saudara akan bertangisan sambil berdoa agar jemaah selamat dalam pelayaran.  

Selepas lebih kurang 3 bulan, jemaah haji akan pulang. Sekali lagi sewa bas ke Pulau Pinang menyambut kepulangan mereka. Banyak barang-barang yang dibawa balik oleh jemaah haji sebagai buah tangan. Selain Air Zam Zam, tasbih, kopiah putih dan buah tamar adalah satu kemestian yang dibawa balik. Tapi yang paling aku ingat ialah, buah tangan untuk budak-budak kecil macam aku, kamera kotak yang ada gambar-gambar Makkah dan Madinah.  Bila dipetik, gambar akan bertukar dari satu gambar kepada gambar lain.
Jemaah haji lelaki selepas balik menunaikan haji, akan pakai serban sampai bila-bila dan dipangil "Pak Haji" menggantikan namanya. Bila ada kenduri, Pak Haji mendapat kedudukan yang istimewa dan dihormati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan