Ahad, Oktober 30, 2011

Lagi Gambar Banjir di Thailand...

Banjir di Thailand masih belum surut lagi. Kini air banjir telah memasuki kota Bangkok pula. Bermacam-macam ragam bagi penduduk-penduduk yang melalui bencana ini.








Isnin, Oktober 17, 2011

Menara Jam Makkah (Abraj Al-Bait) Punyai ‘Sentuhan Anak Malaysia’


Menara Jam Mekah telah mula diuji guna setahun yang lalu iaitu pada bulan Ramadhan 1431H yang lalu (bersamaan Ogos 2010). Keistimewaan dan ciri-ciri pembinaanya baca di sini 
Seharusnya Malaysia boleh berbangga melihat struktur menara jam yang tersergam indah menghadap Masjidil Haram di sini,  kerana ia sebenarnya mempunyai ‘sentuhan anak Malaysia’.

Wan Nazri Wan Aria, 31, merupakan jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch, yang bertanggungjawab menampilkan reka bentuk dan pembinaan menara jam gergasi itu. Katanya menara itu memerlukan ‘lightweight steel structure’ untuk menyokong jam gergasi itu, dan di sini kejituan teknologi Jerman dengan kerjasama tenaga pakar dari syarikat Premier Composite Technology dari Dubai, diperlukan untuk menyempurnakan tanggungjawab itu.

Uniknya, 14 tenaga pakar dari Premier Composite Technology itu juga terdiri daripada kumpulan anak muda dari Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi yang memukau perhatian jutaan jemaah dari serata dunia yang datang ke sini untuk mengerjakan haji dan umrah.

Dengan ketinggian 601 meter, ia merupakan menara jam tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara-menara jam lain yang terkenal di seluruh dunia seperti Menara jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara jam The Big Ben di London, dan Menara jam Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat.

“Ia tiga kali lebih besar daripada Menara Big Ben di London,” kata pemuda kelahiran Melaka, yang menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara pada tahun 2002 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Stuttgart, Jerman.
.

Katanya beliau amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada tenaga pakar yang melakar sejarah di Mekah, apabila dibabitkan dalam kerja-kerja membina mercu tanda terbaru yang dapat membantu jemaah mengenal pasti kedudukan Masjidil Haram dari jauh lagi, di tengah kota di tanah suci itu.

Rakannya, jurutera dari Premier Composite Technology, Armazizul Arifin pula berkata bahan komposit merupakan satu bidang baru, dan tidak banyak syarikat di dunia mempunyai kepakaran serta teknologi berkaitan bahan itu, dan ia membuatkan kebanyakan pakar dalam pemasangan bahan itu biasanya saling mengenali antara satu sama lain.
Beliau berkata bekerja dalam satu kumpulan tenaga pakar dari negara sama merupakan satu kelebihan nyata, dan menurutnya beliau bersama kumpulan rakan-rakannya itu turut terlibat dalam beberapa projek besar membabitkan pemasangan struktur binaan logam yang kukuh tetapi ringan itu.

Sumber:.BERNAMA

Jumaat, Oktober 14, 2011

Banjir Besar Melanda Thailand

Thailand,negara jiran kita telah dilanda banjir yang paling buruk dalam abad ini. Setakat ini, menurut berita di TV menyatakan seramai 280 orang telah terkorban dan 60 wilayah (provinse) terlibat dengan banjir ini. Kerugian dari segi harta benda belum dalam ditafsirkan lagi, mungkin akan mencecah billion ringgit. Tetapi yang pasti, kita juga akan menerima tempiasnya. Bekalan beras dari Thailand akan berkurangan selepas ini.
 
Kanak-kanak sedang bermain air banjir di Daerah Sena, Ayutthaya, 80km di utara Bangkok. 

Kuil yang dalam pembinaan dikelilingi oleh air banjir di bandar Ayutthaya , utara Bangkok.

Patung "Buddha Tidur" ditengelami banjir di kuil lama dalam Wilayah Ayutthaya -salah satu tapak warisan Dunia UNESCO. 

Gajah digunakan untuk membantu membawa barangan mangsa banjir di Ayutthaya

Deretan kereta baru yang ditenggelami air di Kilang Honda di utara Bangkok. 

Air banjir yang hampir mencecah bumbung rumah di luar bandar Ayutthaya

Seorang gadis sedang melayan pelanggan membeli barangan di kedainya.

Petani sedang menghalau lembu-lembu peliharaan mereka meredah air banjir 
ke tempat yang lebih selamat.



Ahad, Oktober 09, 2011

Musim Haji Dah Tiba...

Minggu ini beberapa orang kawan telah menerima jemputan menjadi tetamu Allah menunaikan Rukun Islam yang kelima . Mereka telah pun berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan haji. Ada yang naik kapalterbang di Pulau Pinang dan ada yang naik di KLIA. Aku sempat bertemu dengan mereka sebelum  mereke "turun rumah" sambil bermaaf-maafan dan mengucapkan selamat berangkat dengan iringan doa semoga selamat pergi dan selamat kembali. Dan yang lebih penting, semoga mereka memperolehi haji yang mabrur.


Teringat masa aku kecil-kecil dulu pada tahun 60an, jika ada orang kampung hendak menunaikan haji, maka penduduk kampung akan sewa bas dan ramai-ramai hantar ke Pelabuhan Pulau Pinang. Pada masa tersebut jemaah kena naik kapal laut untuk ke Makkah. Kapal haji akan berlabuh dekat dengan Padang Kota Lama, Pulau Pinang. Kami akan bertolak awal sehari dan bermalam di sekitar Padang Kota Lama. Ramai betul orang yang menghantar, bayangkan seorang pergi, yang menghantar sampai satu bas.


Oleh kerana perjalanan dengan kapal laut mengambil masa yang panjang, setiap jemaah haji akan membawa bekalan makanan, periuk belanga dan pakaian yang banyak. Semua benda-benda itu akan  dimasukkkan dalam kotak kayu. Kotak kayu itu di panggil 'Tong Sahara'.
Saat yang paling sedih dan  sayu ialah ketika azan dilaungkan beberapa saat sebelum kapal bergerak. Perlahan-lahan kapal meninggalkan pelabuhan dan sanak saudara akan bertangisan sambil berdoa agar jemaah selamat dalam pelayaran.  

Selepas lebih kurang 3 bulan, jemaah haji akan pulang. Sekali lagi sewa bas ke Pulau Pinang menyambut kepulangan mereka. Banyak barang-barang yang dibawa balik oleh jemaah haji sebagai buah tangan. Selain Air Zam Zam, tasbih, kopiah putih dan buah tamar adalah satu kemestian yang dibawa balik. Tapi yang paling aku ingat ialah, buah tangan untuk budak-budak kecil macam aku, kamera kotak yang ada gambar-gambar Makkah dan Madinah.  Bila dipetik, gambar akan bertukar dari satu gambar kepada gambar lain.
Jemaah haji lelaki selepas balik menunaikan haji, akan pakai serban sampai bila-bila dan dipangil "Pak Haji" menggantikan namanya. Bila ada kenduri, Pak Haji mendapat kedudukan yang istimewa dan dihormati.