Selasa, Ogos 30, 2011

Bila semua orang cuti...


Hari Raya kali ni cuti panjang sikit sebab bertembung dengan cuti Hari Merdeka. Aku pergi nak tampal gigi yang berlubang, klinik gigi tutup sampai 4 hari ( susahlah  nak makan rendang,asyik lekat daging kat gigi tu) . Paip rumah aku rosak, kedai hardware pun tutup juga, cuti la tu. Masa balik ke rumah, aku tengok tong sampah melimpah sampahnya. Majlis bandaran pun cuti jugak!

Sabtu, Ogos 20, 2011

Bat Cave di Kilim Geoforest :#4

Sambungan entri yang lalu...

Gua kelawar (Bat Cave) terletak tidak jauh dari Jetty Kilim, Langkawi. Menaiki bot lebih kurang 10 minit, dari jauh sudah kelihatan perkataan "Gua Kelawar" (tapi oleh kerana tidak diselenggara dengan baik, tulisan itu terlindung oleh daun-daun pokok)


Apabila kami sampai, pengunjung agak ramai juga, tidak dapat ditampung oleh jeti yang kecil. Untuk masuk dikenakan bayaran RM1 seorang. Oleh kerana laluan di dalam gua itu agak gelap, lampu suluh akan dibekalkan kepada setiap kumpulan yang masuk.




Ini adalah papan kenyataan mengenai Gua Kelawar ini. Ia menceritakan bagaimana gua ini terbentuk beribu tahun yang lalu serta jenis  jenis batu batan di sini.

Untuk masuk ke dalam gua, ada dibina laluan pejalan kaki dari luar mulut gua sehingga keluar pintu gua di sebelah sana. Semasa kami sampai, hari dah petang menyebabkan gua itu menjadi lebih gelap.

Pemandangan di dalam Gua kelawar. Kalau diperhatikan betul-betul, yang berwarna hitam di bumbung gua itu ialah kelawar. Suasana dalam gua itu agak sejuk dan kedengaran bunyi air yang menitik dari bumbung gua.Semasa dalam gua, ada sedikit bau yang kurang enak...bau tahi kelawar.


Selain kelawar, batuan yang terbentuk dalam gua itu amat menarik sekali. Stalagtait dan stalagmait yang terbentuk berusia ribuan tahun nampak begitu unik dan mengagumkan.




Selasa, Ogos 02, 2011

Fish Farm di Kilim Geoforest Park :#3

Sambungan entri yang lalu..

Aktiviti seterusnya dalam pakej melawat Kilim Geoforest Park nin  ialah melihat Fish Farm, tempat ikan yang dibela dalam sangkar. Tempat ini tak berapa besar tapi banyak juga ikan yang dibela dalam sangkar

Pelantar tempat membela ikan ini dibina di atas tong-tong plastik yang disusun rapat-rapat. Selain sangkar ikan, terdapat juga restoran di sini. Hidangan di restoran itu tentulah makanan laut seperti ikan bakar, udang, sotong dan ketam. Tapi harus diingat ,mesti sediakan bajet yang mencukupi jika nak makan di sini.
 


Apabila kami sampai, seorang remaja lelaki menyambut kami dan seterusnya membawa kami ke kawasan sangkar ikan. Dia bertindak sebagai pemandu pelancong kepada kumpulan kami sambil menerangkan nama-nama ikan yang dibela di situ.


Kami seterusnyaditunjukkan sangkar ikan pari . Ikan -ikan  pari itu berada ditepi sangkar seolah tahu ia akan diberi makan. Remaja lelaki tadi memberi sepotong ikan dan disuapkan ke mulut ikan pari.

Ikan-ikan  pari itu agak besar juga ( jenis yg berwarna hitam) kelihatan sangat jinak dan akan mendekati jika dihulurkan tangan ke dalam air. 





Selain ikan pari, ada ikan jenahak yang seberat 20kg, ikan haruan tasik dan beberapa jenis ikan laut yang selalu kita jumpa di pasar.