Isnin, Julai 25, 2011

Menyusuri Kilim Geoforest Park : #1

Bila sebut Langkawi, terbayanglah keseronokan bershopping pinggan mangkuk corning ware dan lain-lain lagi  yang murah harganya. Sebenarnya banyak tempat-tempat yang menarik untuk dilawati di Pulau Lagenda ini. Salah satunya ialah menaiki bot menyusuri Sungai Kilim, meneroka keindahan alam semulajadi yang diiktiraf tercantik di dunia .



Kami sampai di jeti Tanjung Rhu pada pukul 4.00 petang. Pada masa itu, tidak ramai pelancong mungkin kerana hari Jumaat. Tak perlu berebut untuk naik bot dan bot kami tak akan kena ombak dari bot-bot yang berselisih nanti.

Kita boleh memilih pakej satu jam hingga pakej 4 jam dan harganya tentulah berbeza. Kami memilih pakej 2 jam ,dengan bayaran sewa bot sebanyak RM200, kita akan dibawa melihat dan menikmati pemandangan yang sungguh menakjubkan selama 2 jam itu. Bot itu boleh dinaiki maksimum 8 orang dewasa dengan selesa.
Untuk pakej 2 jam itu, kami akan dibawa untuk melihat 'Helang Makan' (Eagle Feeding), Gua Kelawar (Bat Cave) dan 'Sangkar Ikan' (Fish Farm).




Apabila bot mula bergerak, kita akan merasai satu pengalaman yang sangat mengasyikan. Tiupan angin sejuk ke muka dan pemandangan alam semulajadi hutan bakau yang sungguh indah. 


Bot-bot dipandu dengan perlahan pada mulanya, kemudian bertambah laju dan kejar mengejar rasanya seperti dalam adegan filem pulak!

Bentuk-bentuk batuan batu kapur (Limestone) yang cantik terhasil oleh hakisan air dapat dilihat sepanjang perjalanan menyusuri Sungai Kilim. Pemandu bot kami agak pendiam tapi sekali sekala dia akan bercerita tentang pemandangan yang kami lalui itu.


Ini dipanggil Lubang Buaya, iaitu gua yang terbentuk pada bukit batu kapur dan bot boleh melaluinya hingga ke sebelah sana.


Kami kagum dengan kecekapan pemandu bot kerana dapat mengawal bot melalui gua itu hingga keluar di sebelah sana. Bumbung bot itu hampir menyentuh dinding atas gua itu, tapi bot boleh lepas dengan selamat. 

Tabik kepada pemandu bot!

Kemudian bot menuju ke lautan luas dan berhenti pada landmark di situ yang tertulis "KILIM GEOFOREST PARK". Lama juga bot berhenti, memberi peluang kepada kami untuk mengambil gambar kenangan. Selepas itu , bot berpatah balik untuk membawa kami melihat Eagle Feeding, Gua Kelawar dan Fish Farm. Aku akan ceritakan dalam posting akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan