Sabtu, Disember 31, 2011

Duit Syiling Baru Malaysia Tahun 2012

Mulai Januari 2012, Bank Negara Malaysia akan memperkenalkan duit syiling baru dengan rekaan terkini. Duit syiling yang diperkenalkan  ialah duit syiling 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen.


Siri baharu duit syiling ini lebih kecil dan ringan untuk memudahkan orang ramai menggunakannya. Duit syiling berwarna kuning dan perak ini juga mempunyai sisi tepi yang berbeza-beza bagi memudahkan orang ramai dan mereka yang kurang upaya penglihatan untuk mengenali dan membezakan dengan lebih baik jenis-jenis duit syiling yang berlainan.


 Duit syiling 50 sen berwarna kuning dan mempunyai motif sulur kacang dan empat belas titik melambangkan 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan. Motif sulur kacang  amat terkenal kerana sering digunakan oleh  para pengukir dalam seni ukiran kayu dan perak.










 

Duit syiling 20 sen berwarna kuning dan memaparkan motif Bunga Melur. Terdapat juga empat belas titik dan lima garisan mendatar. Garisan itu melambangkan lima Rukun Negara.






Duit syiling 10 sen baharu mengabadikan seni warisan ini dalam bentuk corak anyaman unik suku kaum Mah Meri di Semenanjung Malaysia.. Rekabentuk muka belakang masih seperti duit syiling yang terdahulu iaitu bunga raya.









Bagi duit syiling 5 sen, motif yang diparkan ialah Destar Siga. Kain destar siga merupakan sejenis tenunan kain asli suku kaum Kadazan Dusun di Sabah. Ia biasanya dijadikan sebagai hiasan kepala dalam majlis tradisi mereka. 


Sumber : Bank Negara Malaysia






Ahad, Disember 18, 2011

Nak Beli Pasu, datanglah ke Ayer Hitam, Johor

Pekan Ayer Hitam di Johor memang terkenal dengan pasu seramik yang berbagai bentuk dan saiz. Dari pasu yang  sekecil bekas bunga telur hingga yang sebesar-besarnya boleh didapati di sini. Deretan kedai di pekan lama Ayer Hitam yang semuanya menjual pasu seramik, cenderamata untuk majlis kahwin dan barangan hiasan rumah.





Rombongan kami yang balik dari Johor  Bahru singgah di pekan Ayer Hitam atas permintaan ramai. Bila sampai, kami pun masuk dari satu kedai ke satu kedai. Tapi tak ada siapa pun yang beli lagi, sebab tak ada yang berkenan kot.
Banyak betul pasu-pasu yang berbagai bentuk dipamerkan sampai tak tau mana satu nak pilih. Memang pasu seramik di sini  harganya agak murah kalau dibandingkan dengan tempat lain. Tidak semua  pasu-pasu seramik ini dibuat di Ayer Hitam kerana ada juga pasu yang diimport dari China dan Vietnam.


Tabung duit yang dihasilkan dalam berbagai bentuk dan warna yang menarik. 

Susunan rapi pasu-pasu bunga dan lampu tidur yang diperbuat daripada seramik.

Ramai orang suka berkunjung ke sini kerana rekaan dan bentuk pasu sentiasa "updated' yang terbaru. Begitu juga dengan cenderamata pengantin atau untuk majlis perkahwinan sentiasa ada rekaan baru yang belum ada di tempat-tempat lain. kalau pandai tawar-menawar, boleh pula dapat harga yang berpatutan. Tapi kena lah rajin survey dari satu kedai ke kedai lain. 

Dihadapan deretan kedai pasu, terdapat pula gerai-gerai yang menjual beraneka jenis kerepek. Setiap jenis kerepek dibungkus seberat 500gm dan dijual RM10 bagi 3 peket. Selepas membeli kerepek di gerai ini, barulah tahu kilang kerepek terletak di lorong belakang dan harganya lebih murah!


Setelah sejam meronda-ronda, inilah hasilnya yang nak dibawa balik ke rumah.Ada yang beli pasu tapi yang ialah membeli  aneka jenis kerepek dan makanan ringan.

Borong sakan nampaknya... sampai penuh dua belah tangan. 
Ye lah, bukan selalu boleh sampai ke Ayer Hitam.

Sabtu, Disember 10, 2011

Menikmati Satay Kajang Hj. Samuri

Assalamualaikum...

Entri kali ini nak cerita mengenai  makan pula, kerana baru-baru ini singgah di Kajang. Sebut saja Kajang, terus akan teringat satay Kajang. Memang satay Kajang telah lama terkenal kerana keenakannya dan dagingnya yang agak besar dari satay yang kita makan di tempat kita. Ramai orang yang datang ke Kajang semata-mata nak rasa keenakan satay Kajang ini.

Satay adalah makanan tradisi orang Indonesia sebenarnya. Mengikut sejarah, satay  ini diperkenalkan sebelum perang dunia kedua iaitu pada pada 1916 oleh dua orang perantau Indonesia yang datang ke Kajang. Pada masa itu satay dijual di tepi jalan dengan mengandar tempat membakar satay seperti dalam filem-filem P. Ramlee dulu. Terdapat lebih kurang 10 peniaga satay di Kajang dan kebanyakan mereka adalah bersaudara. Satu daripada pengusaha satay yang terkenal ialah Hj. Samuri. Restoran Hj. Samuri di Kajang ini terletak di Jalan Stadium. Restoran ini besar, dua tingkat dan ada bilik atau ruang makan yang berhawa dingin.




Betul ke satay Kajang ni sedap?. Memang betul sedap tapi tidak sesedap 10 tahun yang lalu. Mungkin kerana sekarang ni satay dibuat dengan kuantiti yang banyak, rasanya telah "kurang uumph" daripada dahulu.


Keenakan satay Kajang ini bergantung pada kuah kacangnya. Bagi yang suka pedas, disediakan sambal yang perlu kita campurkan sendiri mengikut kesukaaan masing-masing. Set nasi himpit dan timun kena order berasingan.


Satay yang disediakan di sini ada bermacam jenis selain satay ayam, satay lembu,satay perut dan satay rusa pun ada. Hari tu kami order satay ayam dan sedikit satay lembu kerana satay ayam lembut sedikit dagingnya (sesuailah untuk orang yang tak ada gigi).


Waktu kami datang tu, pelanggan agak ramai juga, meja ditingkat bawah penuh. Jadi kami naik ke tingkat atas. Mula-mula kena order minuman dulu sambil "penaja" kami order satay. Memang hari itu  kami makan satay free kerana  ditaja oleh ketua rombongan kami. Minuman kena bayar sendiri!


Laju betul kami makan, satay yang penuh dalam pinggan tu sekejap saja habis. Memang kuah kacangnya sedap sangat, sampaikan ada kawan yang menghirup kuah itu dari mangkuk!



Tak sampai setengah jam, semua satay dan nasi himpit selesai dimakan. Lihatlah pinggan-pinggan kosong yang  tersusun. Semua puas hati dan perut pun kenyang.

Selain di Kajang, satay Hj Samuri boleh juga didapati di R&R Dengkil dan Sungai Buloh ( tapi satay di R&R tu tak sesedap di Restoran di Kajang ni..dah pernah cuba dulu).
Ada lagi 17 cawangan Satay Hj Samuri iaitu  disini

Jumaat, November 25, 2011

Berkunjung ke Pasar Karat di JB

Pasar Karat.... Apa tu?....

Baru-baru ni ada kesempatan berkunjung ke JB dan singgah di Pasar Karat. Teringin sangat nak tengok sendiri suasana di pasar karat tu. Sebenarnya perniagaan di sini telah lama wujud dan hanya beroperasi pada waktu malam sahaja. Banyak betul gerai-gerai jualan yang terdapat di sini sampai lenguh juga kaki berjalan kalau nak tengok semua. 



En. Asmadi mencuba cincin sambil diperhati dengan penuh minat oleh En.Nasir...

Pasar malam ini digelar Pasar Karat kerana di sinilah peminat barang antik mencari barang-barang lama yang sukar diperolehi.  Selain daripada  barang-barang antik, di sini juga menjual barangan terpakai yang masih berkeadaan elok.


En. Ismail mencuba lampu picit yang boleh di charge semula. Beli..jangan tak beli.
Kebanyakan peniaga di sini adalah anak-anak muda tempatan .  Pasar Karat menjadi tumpuan ramai kerana ia sebenarnya bukan sahaja menjual barang-barang lama tetapi juga barangan keperluan harian yang lain seperti kain baju, selipar, kasut , alatan elektrik, eksosari perhiasan dan beg tangan.


Pasar Karat  di JB ini seperti juga   uptown dan downtown di Kuala Lumpur tetapi berbeza  suasana mengikut citarasa masyarakat Johor Bahru sendiri.


Zaina  membelek seterika arang..tanya macama-macam kat pakcik tu, tapi tak beli pun..
Bagi yang suka barang-barang antik, tentu akan rasa teruja melihat barangan yang sukar didapati masa kini. Namun kalau nak beli kena pandai menawar harga. Misalnya, seterika lama tu diletak harga  RM700!


Setiap barang antik, ada ceritanya tersendiri. Kalau rajin bertanya, penjual itu akan bercerita sejarahnya dan bagaimana dia mendapat barangan antik itu.


Nak rasa masakan ala Indonesia...cuba singgah di gerai ni..

Selepas berjalan-jalan, perut pun terasa lapar. Jangan bimbang terdapat deretan gerai-gerai makan di pasar ini. Nak makan apa...nasi goreng, keutiau kerang, laksa, mee malah ayam penyet pun ada.

Selasa, November 22, 2011

Tahniah Harimau Muda : Kemenangan yang mendebarkan!

Pasukan Harimau Muda Malaysia menewaskan Indonesia dengan sepakan penalti 4-3 yang penuh debaran pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta. Walaupun Indonesia mendahului melalui jaringan Gunawan seawal minit ke lima perlawanan, Malaysia menyamakan kedudukan melalui tandukan Asraruddin Putra Omar pada minit ke-35. Sepatutnya Harimau Muda boleh meraikan kejayaan lebih awal tanpa perlu menanti sepakan penalti sekiranya banyak percubaan ke arah gol yang tidak  tersasar. 


Tahniah Harimau Muda...nampaknya Pasukan Indonesia kempunan untuk menganyang Malaysia, sebaliknya mereka yang kena ganyang!
 

Jumaat, November 18, 2011

Kenangan : Aidil Adha Di Serata Dunia

As-salam...
Aidil Adha baru saja berlalu yang disambut di seluruh dunia oleh umat Islam.  Sambutan Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban bermula dengan sembahyang raya. Selesai sembahyang diikuti pula dengan ibadat korban. Marilah lihat bagaimana sembahyang raya dilakukan diserata dunia melalui gambar-gambar di bawah ini
.
Jemaah haji bersembahayang di Masjid Namira, Arafah. 
Pada tahun ini lebih2.5 juta jemaah yang berada di Tanah Suci 
untuk menunaikan haji menjadikan perhimpunan umat manusia  yang terbesar di dunia.

 Umat Islam di Barat India bersembahyang Raya di masjid bandar Ahmedabad.


 
Penduduk Islam Albania bersembahyang raya di bandar Tirana, Albania.





Askar Pakistan berkawal semasa umat Islam menunaikan sembahyang raya dalam sebuah masjid di Lahore.



Sembahyang raya yang diadakan berhampiran Taj Mahal di Agra, India.


Kaum wanita menunaikan sembahyang raya di Mogadishu,ibu negara Somalia.


Seorang kanak-kanak perempuan sedang bergaya di samping bapanya yang sedang sembahayang raya di New Delhi, India.








Leka melihat telefon bimbit disamping jemaah wanita sedang bersembahyang raya di Jakarta, Indonesia.




Keadaan selepas hujan, kelihatan umat Islam menunaikan solat Aidil Adha di sebuah masjid jamek di Tehran.


Pemandangan solat Aidil Adha yang diadakan di kawasan lapang di Mumbai, India. 

Khamis, November 10, 2011

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja



TETAMU SENJA

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadaNYA

Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan

Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat

Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat

Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat

Nukilan :
~ A. Samad Said ~

Ahad, Oktober 30, 2011

Lagi Gambar Banjir di Thailand...

Banjir di Thailand masih belum surut lagi. Kini air banjir telah memasuki kota Bangkok pula. Bermacam-macam ragam bagi penduduk-penduduk yang melalui bencana ini.