Isnin, Julai 19, 2010

Kolokium di Institut Aminuddin Baki ( Utara)

Hampir dua tahun tidak mengikuti kursus atau seminar di IAB Utara, Jitra. Cuma lalu di hadapan IAB dan melihat ada pembinaan blok baru serta pintu gerbang yang cantik.Rasanya dah hampir setahun bangunan baru di IAB itu siap dan sudah digunakan.
Baru-baru ni semasa melayari laman web IAB, aku tertarik dengan program yang akan diadakan iaitu Kolokium Kebangsaan Kepimpinan Instruksional. Aku terus mendaftar secara online untuk turut serta. Acara ini adalah acara tahunan yang telah masuk tahun keempat. Akhirnya aku dapat menyertai program itu yang diadakan mulai 12 hingga 15 Jun 2010.

Pada petang 12 Jun aku mendaftar masuk ke IAB, Jitra. Ramai peserta yang datang dari seluruh Malaysia.
 Selepas parking kereta, aku menuju ke tempat pendaftaran untuk mengambil bilik penginapan.

Tempat penginapan yang dipanggil residen itu setinggi 6 tingkat dan aku dapat bilik di tingkat satu. Masuk bilik aku terkejut dengan keadaan bilik yang luas dan kemas. Dulu, bila berkursus di IAB, tempat penginapan ialah di Desa Siswa dekat Bandar Darulaman ( bekas tinggalan UUM).

Biliknya seperti bilik hotel, semuanya serba baru dan lengkap dengan kipas dan air cond.

Selain TV flat skrin, juga ada peti ais. Tuala, sabun dan syampu di sediakan tidak seperti dulu kena bawa tuala dan sabun sendiri. Katilnya pula saiz double walaupun bilik itu untuk seorang. Cuma bilik air berkongsi dengan bilik sebelah (seperti di IAB Induk).



Program ini diisi dengan pembentangan 9 kertaskerja dan ucap utama oleh Prof Dato' Dr. Hussein bin Hj. Ahmad, Fellow Penyelidik Kanan, Institut Pengajian Kepengetuaan Universiti Malaya. Kebanyakan pembentang kertas kerja adalah Pengurus Sekolah (Pengetua atau Guru Besar) Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) seperti Pn. Fuziah bt. Hassan Guru Besar SK Bandar Uda 2, Pn. Kartini bt Zakaria Pengetua SMK. Sultanah Asma,Hj. Abdullah Jusoh Pengetua KISAS.

Dua pembentang kertaskerja yang paling menarik perhatian ialah oleh Sekolah Swasta iaitu Datin Freida bt Dato' Mohd Pilus, Pengetua Cempaka International Ladies College,Negeri Sembilan. Pengalaman beliau menubuhkan sekolah swasta  bermula dari kosong hinggalah sekarang ini ada 5 cawangan. Hebat sungguh semangat dan ketabahan beliau.

Satu lagi pembentangan oleh jemputan  luar negara iaitu Ibu Hjh. Sumartinah dari Sekolah Dasar Putren, Yogyakarta. Sekolah ini musnah ketika gempa bumi pada tahun 1996 dan dibangunkan semula dengan penuh kepayahan dan akhirnya berjaya menjadi sekolah terbaik di daerahnya.



 Ini pula adalah dewan makan baru yang luas dan selesa. Di dalam dewan makan ini juga terdapat skrin besar dan LCD. Boleh digunakan untuk membuat persembahan dan acara karaoke.







Keceriaan kawasan sekitar IAB ini juga diberi perhatian. Sejuk mata memandang kawasan yang dijaga rapi dengan hiasan pokok bunga dan bangku tempat berehat.


 
Di luar dewan, diadakan jualan buku-buku ilmiah yang sukar didapati di pasaran.

Majlis penutup disempurnakan oleh Pengarah Cawangan IAB Utara iaitu Hj. Abd Ghani bin Ishak. Dalam ucapannya, beliau menceritakan pengalaman beliau melawat negara luar seperti Bosnia, yang sungguh menyentuh perasaan.

Hasil daripada 3 hari menghadiri kolokium ini banyak yang dapat dikutip hasil pengalaman pembentang kertaskerja yang sungguh menarik.
 Tahun hadapan, aku akan cuba hadir lagi majlis yang sebegini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan