Selasa, Jun 08, 2010

Minggu Suaikenal ..Nostalgia 1974


Selepas keluar keputusan peperiksaan SRP (kini dipanggil PMR) pada Disember 1973, aku dapat keputusan yang agak elok juga la. Ekoran daripada itu, aku dapat tawaran melanjutkan pelajaran ke aliran Sains Tulin di Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Petani. Perasaan masa itu agak bercelaru juga, gembira pun ada, takut pun ada.
Bila mula masuk asrama pada Januari 1974, acara pertama ialah Minggu Suaikenal. Tujuannya ialah untuk pelajar baru (freshie) dapat kenal pelajar-pelajar lama (senior). Program ini dijalankan selama seminggu.
 
Aku masih ingat lagi pertama kali masuk asrama ketika itu. Masa nak pergi lapor diri, emak dan ayah aku hantar dengan membawa beg pakaian yang besar, timba, penyangkut baju dan macam-macam lagi. Sesampai di tempat pendaftaran, aku dan kedua orang tuaku disambut mesra oleh pelajar -pelajar senior dan dibawa ke tempat pendaftaran. Seorang pelajar senior tolong membawa beg pakaianku yang berat sambil berkata:
"Pak cik dan mak cik jangan bimbang. Kami akan tolong jaga anak pak cik ni. Kami akan uruskan pendaftarannya. Pak Cik dengan Mak Cik boleh la balik sekarang. Jangan bimbang"
 
Perasaan cemas dan takut aku hilang dengan kata-kata abang senior itu. Baik betul mereka ni. Kedua orang tuaku pun balik. Belum sempat kereta orang tuaku beredar, tiba-tiba...,
 
"Ooo..berlagak jadi tuan ye! Nah, bawa beg hang ni sendiri!!" kata abang senior dengan muka 'cenge' sambil menghempas beg pakaian aku tu.
Mulai dari saat itu, tiada lagi senyuman manis dari muka abang-abang senior. Barulah aku tahu, ini rupanya yang dipanggil ragging, seperti yang pernah aku dengar kawan-kawan cerita sebelum ini. 
Selepas selesai pendaftaran, aku pun disuruh pergi ke asrama untuk menyimpan barang-barang aku. Di tengah jalan, aku disekat oleh beberapa abang senior. Aku disuruh buat macam-macam benda. Suruh menyanyi, tiru gaya monyet, kena jerkah dan disoal berbagai soalan yang menyakitkan hati. Habis di situ, aku berjalan beberapa langkah, disekat pula oleh kakak-kakak senior. Kena soal jawab, kena menyanyi dan kena jerkah lagi. Sampai petang aku belum boleh simpan barang aku lagi, asyik ditahan oleh abang dan kakak senior. Baju aku basah kerana berpeluh dan berasa berlengas habis. Dekat waktu maghrib barulah aku dapat masuk ke dorm asrama untuk simpan barang-barang aku. 
Malam tu aku berfikir-fikir nak cabut balik kampung esok. Tapi bila berbual dengan budak baru yang lain, aku batalkan hasrat aku tu. Jadi, seminggu aku menjalani minggu suaikenal itu dengan sabar dan berharap dapat menghadapi semua cabaran dengan baik. Sepanjang minggu itu, kami dikehendaki mengenali nama-nama semua abang/kakak senior. Kena hafal la, tapi yang susah tu, ada yang pakai nama samaran yang susah nak ingat. Bila jumpa mereka, mereka akan tanya ingat tak nama mereka. Kalau tak ingat, kena denda la jawabnya.   
 
Akhirnya, cukup seminggu tamatlah minggu suaikenal. Malam terakhir ada majlis penutup. Setiap dorm mesti buat persembahan. Dorm kami buat persembahan boria (gambar di atas). Itulah kali pertama aku naik pentas mempersembahkan boria dalam dewan besar sekolah. 
 
Selepas tamat minggu suaikenal, keadaan terus berubah sekelip mata. Abang-abang senior yang garang-garang dulu dah bertukar jadi baik semuanya, mesra dan  jadi kawan pula. Rupanya mereka cuma berlakon garang semasa minggu suaikenal sahaja. Hasil minggu suaikenal itu, aku dapat ingat nama semua abang-abang dan kakak-kakak senior dan hormat pada mereka. Itu satu perkara baik hasil minggu suaikenal. Sekarang ni, ada lagi ke program macam ni di asrama?..   
                                                                                                     

1 ulasan:

  1. Weh Mi Sulong, thong 75 bila kami msk asrama hang pula ragging kami, sama2 satu sekolah di SMKP hang bantai juga, nak balas dendam kut,,,, heeeeeeeeeee

    BalasPadam