Isnin, Jun 21, 2010

Kenangan Semasa Darjah 6 Tahun 1970

Gambar kenangan Tahun 1970 bersama Cikgu Hj Mohamad bin Saad (kiri) dan Allahyarham Cikgu Ismail bin Hamzah (kanan). Aku yang bertanda anak panah.

Pada tahun 1970, aku berada di dalam Darjah 6 (sekarang dipanggil Tahun 6). Aku dan kawan-kawan bersekolah di SK. Kuala Kupang, terletak lebih kurang 10km dari pekan Baling. Untuk sampai ke sekolah, aku terpaksa berjalan kaki dari rumah aku yang jaraknya 2km. Aku dibekalkan duit poket sebanyak sekupang (10 sen) atau 15 duit(15 sen) sehari. Dengan duit sebanyak itu, aku dapat beli makanan dan minuman kerana harga nasi lemak atau kueh hanya 5 duit dan air pun sama harganya. Kadang-kadang orangtuaku bagi duit lebih sikit iaitu 2 kupang atau 3 kupang, masa tu boleh belanja kawan-kawan makan ais kepal.


Guru kelas kami ialah Allahyarham Cikgu Ismail Hamzah. Orangnya cukup tegas dan garang. Siapa yang tak siap kerja sekolah kena tampar di pipi, kuat juga tapi dia gunakan hujung jari sahaja. Tapi aku suka dia sebab dia pandai bercerita, selalunya cerita dari novel-novel bahasa Inggeris yang dia baca. Bila dia kata" Nak dengar cerita, tak?".  Seluruh kelas yang tadinya bising akan terus diam. Pakat-pakat pasang telinga  nak dengar cerita.
Bagi Allahyarham, dia cukup pentingkan nilai-nilai murni kepada anak muridnya. Ada sekali tu, dia terjumpa kawan aku hisap rokok kat panggung wayang. Keesokannya, dia panggil kawan aku tu ke depan kelas. Dia keluarkan sebatang rokok dari poketnya dan nyalakan. Dia suruh kawan aku hisap. Lepas tu nyalakan 4 batang lagi, dan masukkan dalam lubang hidung kiri dan kanan, lubang telinga kiri dan kanan. Selepas itu dia suruh kawan aku berjalan keliling bangunan sekolah!. Sejak hari tu, tak ada siapa lagi berapa hisap rokok.

Allahyarham juga mengajar kami supaya pandai berjimat dan simpan duit. Dia anjurkan kami main kut. Sehari kutip 5 duit seorang. Aku jadi tukang kutip sebab aku ketua kelas. Seminggu sekali cabut kut dan dapat RM7. Masa zaman tu, RM7 sangatlah besar. Masa aku dapat kut, aku boleh beli baju sehelai dan boleh makan mee rebus di kedai mamak Hameed di pekan Kupang. Mee mamak tu cukup sedap dengan kuahnya yang pekat. Harganya cuma 25 sen sepinggan.

Cikgu Mohamad Saad pula seorang yang penyabar dan cakap dengan lemah lembut. Dia mengajar Bahasa Melayu. Aku masih ingat tulisan dia cukup cantik terutama bila buat tulisan sambung (istilah sekarang-tulisan berangkai) . Kami diajar bagaimana nak buat tulisan sambung dengan menggunakan buku garis tiga. Tulisan siapa yang cantik akan dilekatkan kat papan kenyataan dalam kelas. Sampai sekarang aku boleh buat tulisan sambung dengan cantik. Sekarang dia sudah pencen dan jawatannya yang terakhir ialah Guru Besar. Masih lagi sihat dan sekarang menetap di Kupang.

Al-Fatihah untuk cikgu aku Allahyarham Ismail Hamzah.Semoga rohnya dicucuri rahmat dan dihimpunkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh..Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan