Selasa, Jun 29, 2010

Piala Dunia : Mengapa Jaringan Lampard tidak disahkan?


Kontroversi Piala Dunia

Keputusan yang diambil oleh pengadil dan penjaga garisan  pada perlawanan di antara England dan Jerman adalah tepat. Mereka sepakat dan ada sebab kukuh mengapa mereka  mengatakan jaringan gol Frank Lampard memang tidak boleh disahkan. 



Nak tau mengapa pengadil menidakkan gol Frank Lampard?
Jom kita tengok bukti bergambar yang dirakam kamera di belakang tiang gol semasa ‘jaringan’ tersebut berlaku…


Memang sah…bola belum melepasi garisan gol!!

Kredit : best10f4.wordpress.com

Isnin, Jun 28, 2010

Berita Sedih : Bara'a Meninggal

Al Fatihah...Dengan dukacitanya dimaklumkan
bahawa gadis kecil bernama Bara'a
telah meninggal dunia.
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan
bersama-sama orang-orang yang beriman
dan beramal soleh..

Kisah mengenai gadis kecil ini pernah saya terbitkan dulu. Baca di sini

Isnin, Jun 21, 2010

Kenangan Semasa Darjah 6 Tahun 1970

Gambar kenangan Tahun 1970 bersama Cikgu Hj Mohamad bin Saad (kiri) dan Allahyarham Cikgu Ismail bin Hamzah (kanan). Aku yang bertanda anak panah.

Pada tahun 1970, aku berada di dalam Darjah 6 (sekarang dipanggil Tahun 6). Aku dan kawan-kawan bersekolah di SK. Kuala Kupang, terletak lebih kurang 10km dari pekan Baling. Untuk sampai ke sekolah, aku terpaksa berjalan kaki dari rumah aku yang jaraknya 2km. Aku dibekalkan duit poket sebanyak sekupang (10 sen) atau 15 duit(15 sen) sehari. Dengan duit sebanyak itu, aku dapat beli makanan dan minuman kerana harga nasi lemak atau kueh hanya 5 duit dan air pun sama harganya. Kadang-kadang orangtuaku bagi duit lebih sikit iaitu 2 kupang atau 3 kupang, masa tu boleh belanja kawan-kawan makan ais kepal.


Guru kelas kami ialah Allahyarham Cikgu Ismail Hamzah. Orangnya cukup tegas dan garang. Siapa yang tak siap kerja sekolah kena tampar di pipi, kuat juga tapi dia gunakan hujung jari sahaja. Tapi aku suka dia sebab dia pandai bercerita, selalunya cerita dari novel-novel bahasa Inggeris yang dia baca. Bila dia kata" Nak dengar cerita, tak?".  Seluruh kelas yang tadinya bising akan terus diam. Pakat-pakat pasang telinga  nak dengar cerita.
Bagi Allahyarham, dia cukup pentingkan nilai-nilai murni kepada anak muridnya. Ada sekali tu, dia terjumpa kawan aku hisap rokok kat panggung wayang. Keesokannya, dia panggil kawan aku tu ke depan kelas. Dia keluarkan sebatang rokok dari poketnya dan nyalakan. Dia suruh kawan aku hisap. Lepas tu nyalakan 4 batang lagi, dan masukkan dalam lubang hidung kiri dan kanan, lubang telinga kiri dan kanan. Selepas itu dia suruh kawan aku berjalan keliling bangunan sekolah!. Sejak hari tu, tak ada siapa lagi berapa hisap rokok.

Allahyarham juga mengajar kami supaya pandai berjimat dan simpan duit. Dia anjurkan kami main kut. Sehari kutip 5 duit seorang. Aku jadi tukang kutip sebab aku ketua kelas. Seminggu sekali cabut kut dan dapat RM7. Masa zaman tu, RM7 sangatlah besar. Masa aku dapat kut, aku boleh beli baju sehelai dan boleh makan mee rebus di kedai mamak Hameed di pekan Kupang. Mee mamak tu cukup sedap dengan kuahnya yang pekat. Harganya cuma 25 sen sepinggan.

Cikgu Mohamad Saad pula seorang yang penyabar dan cakap dengan lemah lembut. Dia mengajar Bahasa Melayu. Aku masih ingat tulisan dia cukup cantik terutama bila buat tulisan sambung (istilah sekarang-tulisan berangkai) . Kami diajar bagaimana nak buat tulisan sambung dengan menggunakan buku garis tiga. Tulisan siapa yang cantik akan dilekatkan kat papan kenyataan dalam kelas. Sampai sekarang aku boleh buat tulisan sambung dengan cantik. Sekarang dia sudah pencen dan jawatannya yang terakhir ialah Guru Besar. Masih lagi sihat dan sekarang menetap di Kupang.

Al-Fatihah untuk cikgu aku Allahyarham Ismail Hamzah.Semoga rohnya dicucuri rahmat dan dihimpunkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh..Amin.

Ahad, Jun 20, 2010

Lucu dan Aneh

Kata orang, sekeping gambar lebih bermakna dari seribu perkataan. Sekeping gambar dapat menceritakan segalanya. Kereta dalam gambar di atas melanggar signboard yang bertulis " Thank you for driving carefully through the village".
Mungkin pemandu itu asyik membaca papan tanda tersebut sehingga dia terlanggar papan tanda itu!


Sanggupkah anda melakukan aksi ini. Di India, seorang lelaki begitu berani membenamkan kepalanya ke dalam tanah. Untuk apa?..hanya kerana sesuap nasi, lelaki itu sanggup melakukannya bagi mendapatkan wang daripada orang ramai yang sudi memberinya.



Anda sedang memandu di sebatang jalanraya yang lurus. Tiba-tiba anda sampai ke satu tempat yang sebegini! Apa anda nak buat??




Rasanya tak ada siapa pun yang berani ambil nombor giliran di sini !



Tak payah sewa lori untuk hantar komputer ke pejabat anda. Kalau setakat 10 unit komputer, call saja brother ini. Nombor telefonnya 1-800-825-dapat!.



Nak eja "STOP" pun tak pandai. Itu lah, dulu suruh pergi sekolah tak mau! Bila dah kerja, inilah jadinya..



Nak kejar trip, letak barang sampai over load. Tak cukup' horse power' la tu, sebab dia pakai kaldai.

Rabu, Jun 09, 2010

Main Caplong


Masa dulu-dulu  tak ada video game , Play Station dan lain-lain lagi permainan macam sekarang ni. Budak sekarang banyak alat permainan yang boleh dibeli di kedai. Selain video game, kereta mainan, senapang mainan, robot mainan dan macam-macam lagi yang boleh didapati berlambak-lambak terutama di pekan hari.

Dulu, budak-budak kena kreatif cipta sendiri permainan dari bahan-bahan terbuang dan yang terdapat disekeliling kita. Semua permainan yang dihasilkan tidak memerlukan wang walaupun 5 sen.

Salah satu mainan tradisional yang kami selalu main masa kecil ialah 'caplong' (ada juga yang panggil bedil buluh) berpelurukan buah cenerai atau kertas surat khabar (yang direndam dalam air).
Sebelum bermain kami kena cari bahan-bahan nak caplong . Aku masih ingat kami akan masuk ke belukar terutama dekat sungai berhampiran rumah Pak Teh Cha yang banyak pokok buluh padi yang cantik dan sesuai untuk kami buat caplong. Buluh lemang atau buluh betong tak boleh nak buat caplong pasai lubang dia besar. Nak buat lemang atau tapak bakar pelita masa hari raya, bolehlah guna buluh lemang. 


Bila dah dapat buluh, kami akan memotongnya dengan mengambil ruas yang panjang dan lurus. 



Manakala penjolok  pula adalah dibuat daripada  buluh betong yang diraut sampai kecil dan pasangkan kepada pemegang  atau kepala. Tak semua orang yang pandai buat caplong, kena ada kemahiran juga. Selalunya yang kami suruh buat ialah Yusup Pak Lang Hab atau abang dia Ya Pak Lang Hab. Mereka ni cukup pandai meraut buluh untuk buat penjolok , yang kemudian dipasang pemegang (daripada buluh juga).



 
Kemudian kami mencari peluru dari buah cenerai atau kertas surat khabar yang ditumbuk dengan air. Untuk memasukkan peluru buah cenerai, kena ketuk buah cenerai tu dengan pemegang caplong. Buah mesti lebih besar dari lubang pada buluh tu. Buah cenerai ni pun boleh di makan. Rasanya kelat-kelat masam. 



Bila peluru dah masuk, tekan penjolok dengan cepat. Maka peluru pun keluar diikuti dengan bunyi "plong!". Sebab tu kot orang bagi nama dia caplong.


Bila caplong dan peluru dah ada kami membuat undian siapa yang jadi musuh atau askar. Selepas itu bermulalah peperangan di antara kami dalam kebun getah belakang rumah Pakcik Awang. Permainan ini memang menyeronokan hingga tak sedar ke makan atau minum. Bila dah letih baru cari air nyor muda atau minum air telaga Pak Cik Awang di tepi bendang.


Kena peluru buah cenerai ni,jangan main kadang-kadang berbintik-bintik badan tapi peluru kertas tak apa, bunyi aje kuat tapi tak sakit. Peraturan masa main ni tak boleh pakai baju. Baru senang nampak kesan bila kena tembak dan di kira mati. Selepas puas main caplong, kami beramai-ramai terjun sungai...mandi. Selalunya sampai lewat petang baru balik ke rumah.


Ada lagi ke budak-budak sekarang ni main caplong?



Selasa, Jun 08, 2010

Minggu Suaikenal ..Nostalgia 1974


Selepas keluar keputusan peperiksaan SRP (kini dipanggil PMR) pada Disember 1973, aku dapat keputusan yang agak elok juga la. Ekoran daripada itu, aku dapat tawaran melanjutkan pelajaran ke aliran Sains Tulin di Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Petani. Perasaan masa itu agak bercelaru juga, gembira pun ada, takut pun ada.
Bila mula masuk asrama pada Januari 1974, acara pertama ialah Minggu Suaikenal. Tujuannya ialah untuk pelajar baru (freshie) dapat kenal pelajar-pelajar lama (senior). Program ini dijalankan selama seminggu.
 
Aku masih ingat lagi pertama kali masuk asrama ketika itu. Masa nak pergi lapor diri, emak dan ayah aku hantar dengan membawa beg pakaian yang besar, timba, penyangkut baju dan macam-macam lagi. Sesampai di tempat pendaftaran, aku dan kedua orang tuaku disambut mesra oleh pelajar -pelajar senior dan dibawa ke tempat pendaftaran. Seorang pelajar senior tolong membawa beg pakaianku yang berat sambil berkata:
"Pak cik dan mak cik jangan bimbang. Kami akan tolong jaga anak pak cik ni. Kami akan uruskan pendaftarannya. Pak Cik dengan Mak Cik boleh la balik sekarang. Jangan bimbang"
 
Perasaan cemas dan takut aku hilang dengan kata-kata abang senior itu. Baik betul mereka ni. Kedua orang tuaku pun balik. Belum sempat kereta orang tuaku beredar, tiba-tiba...,
 
"Ooo..berlagak jadi tuan ye! Nah, bawa beg hang ni sendiri!!" kata abang senior dengan muka 'cenge' sambil menghempas beg pakaian aku tu.
Mulai dari saat itu, tiada lagi senyuman manis dari muka abang-abang senior. Barulah aku tahu, ini rupanya yang dipanggil ragging, seperti yang pernah aku dengar kawan-kawan cerita sebelum ini. 
Selepas selesai pendaftaran, aku pun disuruh pergi ke asrama untuk menyimpan barang-barang aku. Di tengah jalan, aku disekat oleh beberapa abang senior. Aku disuruh buat macam-macam benda. Suruh menyanyi, tiru gaya monyet, kena jerkah dan disoal berbagai soalan yang menyakitkan hati. Habis di situ, aku berjalan beberapa langkah, disekat pula oleh kakak-kakak senior. Kena soal jawab, kena menyanyi dan kena jerkah lagi. Sampai petang aku belum boleh simpan barang aku lagi, asyik ditahan oleh abang dan kakak senior. Baju aku basah kerana berpeluh dan berasa berlengas habis. Dekat waktu maghrib barulah aku dapat masuk ke dorm asrama untuk simpan barang-barang aku. 
Malam tu aku berfikir-fikir nak cabut balik kampung esok. Tapi bila berbual dengan budak baru yang lain, aku batalkan hasrat aku tu. Jadi, seminggu aku menjalani minggu suaikenal itu dengan sabar dan berharap dapat menghadapi semua cabaran dengan baik. Sepanjang minggu itu, kami dikehendaki mengenali nama-nama semua abang/kakak senior. Kena hafal la, tapi yang susah tu, ada yang pakai nama samaran yang susah nak ingat. Bila jumpa mereka, mereka akan tanya ingat tak nama mereka. Kalau tak ingat, kena denda la jawabnya.   
 
Akhirnya, cukup seminggu tamatlah minggu suaikenal. Malam terakhir ada majlis penutup. Setiap dorm mesti buat persembahan. Dorm kami buat persembahan boria (gambar di atas). Itulah kali pertama aku naik pentas mempersembahkan boria dalam dewan besar sekolah. 
 
Selepas tamat minggu suaikenal, keadaan terus berubah sekelip mata. Abang-abang senior yang garang-garang dulu dah bertukar jadi baik semuanya, mesra dan  jadi kawan pula. Rupanya mereka cuma berlakon garang semasa minggu suaikenal sahaja. Hasil minggu suaikenal itu, aku dapat ingat nama semua abang-abang dan kakak-kakak senior dan hormat pada mereka. Itu satu perkara baik hasil minggu suaikenal. Sekarang ni, ada lagi ke program macam ni di asrama?..   
                                                                                                     

Isnin, Jun 07, 2010

Kenapa Tak Rogol Saya?




Kisah benar ini berlaku di Amerika Syarikat.
Ia tentang seorang wanita dari Malaysia yang bekerja di Amerika Syarikat. Dia memakai tudung dan memiliki akhlak yang bagus.

Suatu malam Wanita ini dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan yang diambil pula agak tersorok dan tidak banyak orang yang lalu lalang pada masa itu.Disebabkan hari yang agak sudah lewat, berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu membuatkan dia agak gelisah dan rasa takut. Lebih-lebih lagi dia berjalan berseorangan.

Tiba-tiba dia ternampak ada seorang lelaki kulit putih bersandar di dinding di tepi lorong itu. Dia sudah mula rasa takut dan tak sedap hati. Apa yang dia boleh buat waktu tu adalah berdoa ke hadrat Allah memohon keselamatan atas dirinya. Dia terus membaca ayat Kursi berulang kali dengan penuh pengharapan agar Allah membantu dia di saat itu.

Semasa dia melepasi tempat lelaki itu bersandar, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib baik lelaki itu buat tidak endah dan perempuan ini selamat sampai ke rumahnya.

Keesokkan paginya, wanita ini terbaca dalam akhbar yang seorang perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat lorong yang dilaluinya semalam. Kejadian rogol itu terjadi hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut. Wanita ini yakin benar lelaki kulit putih yang dia lihat semalam adalah perogol itu.

Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan membuat aduan. Wanita ni dapat mengenalpasti suspek melalui kawad cam dan selepas siasatan dilakukan, polis mendapat bukti yang cukup bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang dicari.

Wanita  ini berasa hairan dan tertanya-tanya  juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia mangsa ketika dia melalui lorong tersebut walhal dia keseorangan di masa tu. Sebaliknya lelaki tadi merogol perempuan yang lalu selepas dia. Wanita ini nak tahu sangat sebabnya. Jadi dia minta kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat lain).


Dia pun tanya perogol itu..
"Why don't you do anything to me on that night even though you know that I'm alone?"(Kenapa awak tak buat apa-apa kat saya malam tu walaupun awak tau saya seorang je masa tu?)
Perogol tu jawab:
"No, you are not alone. That night I saw two young man walking with you. One on your right side and the other one was by your left side. If you were alone of course you will be my victim."
(Tak, awak bukan berseorangan. Malam tu saya nampak ada 2 orang lelaki berjalan dengan awak. Seorang sebelah kanan awak dan seorang lagi sebelah kiri awak. Kalaulah awak sorang2 malam tu, sudah pasti awak jadi mangsa saya..)

Wanita ni rasa amat terkejut bila dengar penjelasan perogol tu. Dia bersyukur ke hadrat Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi yang dia baca malam itu.

MORAL CERITA INI???

Jika kita sebagai hambaNya menurut segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya, Dia pastinya akan sentiasa dekat dengan kita dan memelihara kita. Wanita tadi pertama-tamanya menutup aurat di US dan memang seorang yang menjaga batas-batas yang ditetapkan Islam. Mungkin dua orang lelaki yang menemani wanita itu adalah malaikat yang diutuskan Allah untuk menjaga hambaNya yang sentiasa ingat akan diriNya.

"...Barang siapa membaca ayat Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya,Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh. Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya ..."
[Dari Abdullah bin 'Amr r.a.]



Sumber: Hilmi Halim

http://halaqah.net/
 
 

Sabtu, Jun 05, 2010

Daging Kambing Boleh Meningkatkan Daya Seksual Lelaki ?



Lama tak update blog ini kerana agak sibuk akhir-akhir ini. Tentu nampak pelik sikit tajuk posting kali ini. Sebenarnya ada cerita disebalik tajuk posting ini. Aku terlintas untuk mencari kebenaran bila suatu hari menghadiri kenduri kawan yang menyediakan hidangan daging kambing.

Rendang Kambing

Sambil makan, masing-masing dok cerita pasai daging kambing yang jadi menu utama hari itu. Ada seorang sahabat kata daging kambing tak sesuai untuk orang yang ada darah tinggi. Sahabat lain pula kata, dia pantang makan daging kambing (pantang jumpa!). Tapi yang paling menarik, ada sorang sahabat tu kata daging kambing boleh meningkatkan daya seksual lelaki. Adakah betul atau hanya mitos sahaja??

Kambing Goreng Kunyit
 Aku bertanya lagi untuk mendapat kepastian. Tanpa berselindung dia menyatakan bahawa ekor lembu dan daging kambing berpotensi meningkatkan daya seks terutama lelaki. Seorang sahabatku rasa geli bila aku mengatakan sangat mengemari sup ekor lembu kerana keenakan rasa sup dan kehangatan oleh rasa pedasnya. Dia membayangkan aku sedang makan ekor lembu yang hidup dan masih ada tahi lembu terlekat pada ekor lembu itu. Cis..kurang asam betul.

Dalam posting kali ini aku lebih tertarik untuk menceritakan tentang daging kambing. Apakah betul mitos tentang daging kambing boleh meningkatkan daya seksual lelaki?
Aku pun mencari fakta dan bukti dalam internet, benar atau tidak seperti apa yang dikatakan oleh sahabat aku tu.




Mitos 1 : Daging kambing berbau hamis
Ramai yang percaya daging kambing hamis. Sebenarnya orang yang sembelih tu tidak pandai. Ada petua supaya daging tak berbau hamis. Jangan bagi bulu kambing terkena pada daging walaupun sehelai dan hempedu kambing hendaklah dibuang dulu jangan sampai terkena daging.

Realitinya : Daging kambing berbau hamis kerana kambing yang disembelih mempunyai kadar hormon mengawan yang tinggi, terutama yang berumur 2 tahun dan ke atas.
Selain itu, kambing yang hendak disembelih, jangan dibiarkan bergaul jantan-betina. Ini akan menyebabkan hormon mengawan tinggi. Seeloknya, asingkan kambing jantan dan betina untuk beberapa hari sebelum disembelih.

Sup Kambing
Mitos 2: Daging Kambing pembawa darah tinggi
Ramai yang percaya daging kambing berkolestrol tinggi. Siapa yang makan daging kambing boleh menyebabkan sakit kepala dan "darah naik" tinggi ( terutamanya orang Melayu!)

Realitinya: Menurut kajian, daging yang terbaik untuk dimakan ialah daging kambing. Ini adalah kerana daging kambing mengandungi kandungan kolestrol, kalori, lemak dan protin yang terendah berbanding daging lain.
DAGING           KOLESTROL       KALORI       LEMAK       PROTIEN
Kambing                63.8                122              2.6             23
Ayam                    76                   162              6.3             25
Lembu                  73.1                 179              7.9             25
Bebiri                   78.2                 175              8.1             27 

Tidak seperti daging kambing biri-biri, daging kambing biasa mengandungi kandungan lemak dan kolesterol yang sangat rendah. Ia sangat ideal bagi mereka yang sangat menitikberatkan soal kesihatan. Keistimewaan lain yang terdapat dalam daging kambing termasuklah:

- Baik untuk jantung dan ia disyorkan oleh American Heart Association bagi mereka yang 
   berhadapan dengan masalah kesihatan yang melibatkan jantung.
- Ia kaya dengan protein dan ratio lemak sihat.
- Mengandungi zat besi dan potasium yang tinggi beserta dengan tahap sodium yang rendah.
- Kandungan kalori dan kolesterolnya lebih rendah berbanding daging lembu dan ayam.
- Tiada pencemaran hormon seperti daging ayam dan pencemaran bakteria sepertimana
   yang ada pada ikan.

Sup Kambing Penang Road

Mitos 3 : Daging Kambing berpotensi meningkatkan daya seksual lelaki.

Pendapat mengatakan daging kambing sangat baik untuk kehebatan seksual disebabkan cadangan dari mereka yang gemar makan daging kambing. Lalu perkara itu dibawa dari mulut ke mulut menjadikan ia sesuatu yang benar.

Realitinya :
Hidangan sate dan gulai kambing memang membuka selera. Sehingga sering disajikan dalam majlis-majlis khas. Ada mitos yang menyebutkan bahwa makan daging kambing dalam jumlah banyak akan membangkitkan ghairah.Satu lagi kesan yang "menghangatkan" pada tubuh dan peningkatan ghairah adalah kerana pengaruh rempah ratus yang pedas seperti cabai, cengkih, halia, lengkuas, lada sulah yang akan meransang kadar aliran darah.


Daging Kambing memang termasuk afrodisiak. Ertinya, bahan itu dikatakan boleh membangkitkan ghairah atau potensi seksual. Daging Kambing digolongkan afrodisiak kerana mengandungi L-Argynin (sejenis asid amino yang menjadi bahan dasar nitrik oksida).
Nitrik Oksida itu sangat berkesan dalam meningkatkan ghairah seksual. Sebab, nitrik oksida memberi efek pelebaran pembuluh darah yang membuat aliran darah ke alat kelamin menjadi lancar. Masyarakat cenderung salah faham dengan mempercayai memakan daging kambing akan menjadi lebih “garang”. Misalnya, makan 20 cucuk sate kambing sekaligus. Padahal, keperluan protein tubuh hanya 56-48 mg per hari. Hal tersebut tentu akan terarah kepada obesiti.

Tindakan makan Sate Kambing berlebihan juga tidak baik untuk lelaki yang mempunyai sejarah penyakit metabolik. Bagi pesakit buah pinggang, memakan daging kambing dalam jumlah yang banyak juga berbahaya. Sebab, ginjal terpaksa bekerja lebih untuk menghadamkan daging kambing. Kesannya, banyak protein yang tak dihadam dengan sempurna dan akibatnya, protein itu mendap di organ-organ vital.
Jadi, kesimpulannya daging kambing elok dimakan kerana kolestrolnya rendah jika dibanding dengan daging lembu dan ayam. Yang lain-lain tu cuma mitos sahaja.