Selasa, April 06, 2010

Bila guru luah rasa..


Oleh WAHID HASHIM
pendidikan@utusan.com.my
Tabik dan salam semua guru.

Saya tetap percaya bahawa guru berhak mendapat apa yang setimpal dengan beban tugasan mereka - khususnya guru yang mengajar, yang memimpin, yang mendidik, dan yang menjadi lilin kepada kesamaran dan kegelapan di pedalaman - walau mereka sendiri terpaksa bergelap.

Keikhlasan, keberanian pengorbanan, perjuangan dan kemahuan yang tidak boleh diukur dengan apa-apa juga alat pengukur itu hanya boleh dihargai dengan ucapan terima kasih dan syabas.

Mungkin sedikit penghargaan boleh diluahkan melalui sejambak bunga, kad ucapan, ciuman pada tangan atau persembahan penghargaan pada hari-hari yang istimewa seperti Hari Guru, hari lahir, perayaan dan sebagainya.

Sesungguhnya, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Berikut saya petik sebahagian daripada reaksi e-mel:

Sepucuk e-mel daripada Shafarizan Mohamed, eddeved@hotmail.com berkata, gaji pokok permulaan guru DG1 P1T4 bersamaan RM1,967.82, bukan RM2,500 sehingga RM2,700.

Kata beliau, tidak adil membuat 'pukul rata' bahawa semua guru yang ada di Malaysia ini tergila-gila kepada kenaikan pangkat dan kenaikan gaji.

''Sebelum saudara terbawa-bawa dengan tuduhan ini, saya cadangkan agar saudara memohon untuk kursus Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sekiranya saudara berumur belum 35 tahun dan masuk ke mana-mana institut perguruan kalau nak tahu macam mana kami menghadapi perkara-perkara yang tak masuk akal dan mencabar," tegas beliau.

Tambah beliau: ''Saya bersyukur dan berterima kasih akhirnya kepada bapa saya kerana memaksa saya memilih kerjaya sebagai guru kerana setelah setahun saya menjadi guru, baru saya memahami maksud saya itu. Tugas sebagai seorang guru bagi saya lebih menyeronokkan kerana:

i) kerja kurang daripada lima jam,

ii) tidak terlalu pening kepala dan

iii) tiap-tiap hari jumpa murid yang comel dan petah bercakap menyebabkan kita bersemangat nak mengajar mereka."

Tambah beliau: ''Bagi saya biarlah akaun gaji duniawi saya tidak seberapa asalkan akaun gaji akhirat saya melimpah ruah kerana saya percaya Allah sahaja yang boleh menilai kerja saya dan keikhlasan saya."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan