Ahad, Februari 07, 2010

Rombongan Sekolah


Keterangan gambar (aku no. 2 dari kiri) 

Semasa di sekolah menengah dulu, cikgu selalu buat rombongan sekolah pada waktu cuti sekolah. Pada masa itu, selalunya buat rombongan ke Pulau Pinang, Taiping dan kalau jauh sikit, ke Kuala Lumpur dan Melaka.

Aku pernah ikut rombongan sekolah pada tahun 1972 semasa aku di Tingkatan 2 Sekolah Menengah Kuala Pegang. Cikgu yang urus rombongan itu namanya Cikgu Abdullah Md Zain. Kali ini kami pergi melawat Taiping. Bukan main seronok lagi aku masa itu. Seumur hidup tak pernah pi Taiping cuma dengar cerita orang saja. Untuk pergi ke sana kena bayar RM10 seorang ( termasuk tambang dan tiket masuk zoo).

Jenuhla pujuk emak aku supaya bagi aku menyertai rombongan itu. Masa tu, RM10 sangat besar nilainya, bukan senang nak dapat duit. Nasib baik emak bagi pergi. Apa lagi melompat aku keseronokan.

Bas rombongan bertolak pagi-pagi lagi. Aku bawa bekal makanan yang emak aku sediakan. Boleh kata semua orang bawa bekal. Sesampai di Taiping, kami melawat Muzium Taiping. Lepas tu, pergi Taman Tasik Taiping. Masa ni semua buka bekal yang di bawa tadi berkelah di tepi tasik. Selepas makan, kami masuk Zoo Taiping. Seronok tengok binatang-binatang yang tak pernah dilihat sebelum ini. Gajah, harimau, zirafah, seladang, ular sawa dan buaya. Masa dekat kandang harimau, Cikgu Abdulah bawa kamera, lalu suruh kami posing untuk ambil gambar. Itulah gambar di atas yang diambil di depan kandang harimau, tapi sayang, tak nampak harimau pun dalam gambar tu...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan