Ahad, November 29, 2009

Hari Raya Qurban

Hari Raya Haji atau Hari Raya Iedul Adha 1430H jatuh pada 27 November 2009 iaitu pada hari Jumaat. Umat Islam yang mampu disyariatkan berqurban dengan binatang sembelihan seperti kambing, kibas, lembu atau kerbau. Biasanya di sini, binatang sembelihan ialah lembu.




Pada Hari Raya Haji yang ketiga, bersamaan 29 November 2009, penduduk di Taman Bersatu telah mengadakan korban. Sebanyak empat ekor lembu ditumbangkan pada hari itu. Seawal pukul tujuh pagi, semua yang terlibat telah berada di tempat korban. Untuk merebahkan lembu, nampak saja mudah. Tapi kalau tak biasa, susah juga kalau lembu yang agak liar sikit. Dalam hal ini, serah saja pada Saad, dia pandai menjerat kaki lembu dan merebahkannya.




Selepas lembu diikat dengan kemas pada pokok, barulah boleh disembelih dengan pisau yang tajam. Kali ini tukang sembelih ialah Haji Ahmad, bilal Masjid Titi Teduri. Sambil bertakbir, pisau yang tajam memutuskan urat-urat pada leher lembu. Tumbanglah seekor lembu qurban yang pertama.



Setelah lembu menghembuskan nafas yang terakhir, kulitnya terus dilapah. Ini satu lagi kerja yang memerlukan kemahiran. Selain daripada Jamalulil ( orang Taman Bersatu), dipanggil juga tukang lapah dari Kuala Pegang. Mereka ni cukup mahir, tak sampai setengah jam, siap lapah kulit dan belah perut lembu tu.




Ini  pula lembu yang kedua disembelih. Yang seekor ini agak liar sikit, susah juga nak rebahkan lembu ni. Mungkin kerana lembu ni tak pernah kena tambat oleh tuannya, sebab tu jadi liar sikit. Semua lembu yang diqurbanlan adalah lembu jantan yang sihat dan agak berisi. Tentu banyak daging ni.


Ini pula lembu yang ketiga bersedia untuk disembelih. Sebelum sembelih, kena pastikan ikatan tali kemas dan lembu dipegang dengan kuat. Ini untuk mengelakkan lembu tu menggelupur dan memudahkan Haji Ahmad menjalankan tugasnya. Masa ni, khidmat orang berbadan besar sangat diperlukan. Ada yang pijak kaki lembu dan ada yang naik atas badan lembu tu.




Lembu yang keempat sedang diikat untuk disembelih. Dalam empat ekor lembu yang disembelih tu, dua ekor untuk aqiqah dan dua ekor lagi untuk qurban. Daging lembu yang buat aqiqah akan dimasak untuk kenduri yang dibuat di rumah Mohd. Dami. Lagipun dia memang nak buat kenduri menyambut menantu perempuannya dari Kuala Lumpur. 





Selepas dilapah, daging, tulang dan perut lembu qurban dibuat 7 bahagian atau 7 tumpuk bagi seekor lembu untuk diagihkan kepada orang yang masuk qurban.Setiap orang yang masuk qurban akan dapat 5 kg daging dan 2 kg tulang. Yang selebihnya pula diberi kepada orang miskin dan sahabat handai.



Masa nak masak daging aqiqah buat kenduri, semua pakat-pakat bergotong royong untuk menyediakan bahan-bahan untuk memasak. Pihak perempuan biasalah kerja potong bawang dan sebagainya.


Tukang masak pula sibuk kena masak  nasi dulu. Ada nasi putih dan nasi kuning. Kali ini  yang masak nasi ni, Rahman Che Mat dengan Pak Id (Shuib). Kalau masak lauk pula, tukang masaknya ialah Jamalulil, Saad  dan rakan-rakan. Masakan depa ni memang sedap dan telah terbukti.


Nak potong daging lembu dua ekor ni bukan senang, kena ramai orang bantu. Inilah untungnya kerjasama penduduk dalam Taman Bersatu ni. Semua datang tolong potong daging dan cincang tulang. Yang berdiri pakai baju merah kuning tu, ketua pakatan kenduri Taman Bersatu ni, nama dia Pak Long Man tengah dok edar tuala kepada semua orang.




Biasanya yang potong daging ni, ialah kaum lelaki. tetapi kerana daging terlampau banyak, kaum wanita pun turut sama membantu. Kalau tidak, pukul dua petang pun tak boleh makan lagi.




Yang ni bukan tukang masak, tapi tukang kacau saja.



Menu hari ni ialah semua berasaskan daging. Ada gulai daging dengan rebung, sup tulang dan daging masak kicap.                                                              





Pukul 1 petang, semua lauk siap di masak dan boleh makan dah. Hidangan disediakan secara buffet, mudah dan senang diurus. Tak payah pakai mentara untuk mengangkat hidangan kepada tetamu yang datang.



Pada pukul 4 petang, jemputan yang datang dah mula reda sikit. Para petugas kenduri pun dah letih melayan tetamu. Jadi bolehlah duduk berehat sambil minum kopi.

Pukul 5 petang , kenduri pun selesai. Apa lagi, punggah khemah, basuh pinggan dan periuk belanga. Pukul 6 petang semua beres. Semua berasa letih tapi puas hati kerana  dapat melaksanakan qurban tahun ini dengan jayanya. Kalau ada yang tak puas hati ke, terkecil hati ke,  minta maaf la.
Insya Allah, kalau panjang umur tahun depan akan buat qurban lagi. Terima kasih kepada semua!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan