Ahad, November 29, 2009

Hari Raya Qurban

Hari Raya Haji atau Hari Raya Iedul Adha 1430H jatuh pada 27 November 2009 iaitu pada hari Jumaat. Umat Islam yang mampu disyariatkan berqurban dengan binatang sembelihan seperti kambing, kibas, lembu atau kerbau. Biasanya di sini, binatang sembelihan ialah lembu.




Pada Hari Raya Haji yang ketiga, bersamaan 29 November 2009, penduduk di Taman Bersatu telah mengadakan korban. Sebanyak empat ekor lembu ditumbangkan pada hari itu. Seawal pukul tujuh pagi, semua yang terlibat telah berada di tempat korban. Untuk merebahkan lembu, nampak saja mudah. Tapi kalau tak biasa, susah juga kalau lembu yang agak liar sikit. Dalam hal ini, serah saja pada Saad, dia pandai menjerat kaki lembu dan merebahkannya.




Selepas lembu diikat dengan kemas pada pokok, barulah boleh disembelih dengan pisau yang tajam. Kali ini tukang sembelih ialah Haji Ahmad, bilal Masjid Titi Teduri. Sambil bertakbir, pisau yang tajam memutuskan urat-urat pada leher lembu. Tumbanglah seekor lembu qurban yang pertama.



Setelah lembu menghembuskan nafas yang terakhir, kulitnya terus dilapah. Ini satu lagi kerja yang memerlukan kemahiran. Selain daripada Jamalulil ( orang Taman Bersatu), dipanggil juga tukang lapah dari Kuala Pegang. Mereka ni cukup mahir, tak sampai setengah jam, siap lapah kulit dan belah perut lembu tu.




Ini  pula lembu yang kedua disembelih. Yang seekor ini agak liar sikit, susah juga nak rebahkan lembu ni. Mungkin kerana lembu ni tak pernah kena tambat oleh tuannya, sebab tu jadi liar sikit. Semua lembu yang diqurbanlan adalah lembu jantan yang sihat dan agak berisi. Tentu banyak daging ni.


Ini pula lembu yang ketiga bersedia untuk disembelih. Sebelum sembelih, kena pastikan ikatan tali kemas dan lembu dipegang dengan kuat. Ini untuk mengelakkan lembu tu menggelupur dan memudahkan Haji Ahmad menjalankan tugasnya. Masa ni, khidmat orang berbadan besar sangat diperlukan. Ada yang pijak kaki lembu dan ada yang naik atas badan lembu tu.




Lembu yang keempat sedang diikat untuk disembelih. Dalam empat ekor lembu yang disembelih tu, dua ekor untuk aqiqah dan dua ekor lagi untuk qurban. Daging lembu yang buat aqiqah akan dimasak untuk kenduri yang dibuat di rumah Mohd. Dami. Lagipun dia memang nak buat kenduri menyambut menantu perempuannya dari Kuala Lumpur. 





Selepas dilapah, daging, tulang dan perut lembu qurban dibuat 7 bahagian atau 7 tumpuk bagi seekor lembu untuk diagihkan kepada orang yang masuk qurban.Setiap orang yang masuk qurban akan dapat 5 kg daging dan 2 kg tulang. Yang selebihnya pula diberi kepada orang miskin dan sahabat handai.



Masa nak masak daging aqiqah buat kenduri, semua pakat-pakat bergotong royong untuk menyediakan bahan-bahan untuk memasak. Pihak perempuan biasalah kerja potong bawang dan sebagainya.


Tukang masak pula sibuk kena masak  nasi dulu. Ada nasi putih dan nasi kuning. Kali ini  yang masak nasi ni, Rahman Che Mat dengan Pak Id (Shuib). Kalau masak lauk pula, tukang masaknya ialah Jamalulil, Saad  dan rakan-rakan. Masakan depa ni memang sedap dan telah terbukti.


Nak potong daging lembu dua ekor ni bukan senang, kena ramai orang bantu. Inilah untungnya kerjasama penduduk dalam Taman Bersatu ni. Semua datang tolong potong daging dan cincang tulang. Yang berdiri pakai baju merah kuning tu, ketua pakatan kenduri Taman Bersatu ni, nama dia Pak Long Man tengah dok edar tuala kepada semua orang.




Biasanya yang potong daging ni, ialah kaum lelaki. tetapi kerana daging terlampau banyak, kaum wanita pun turut sama membantu. Kalau tidak, pukul dua petang pun tak boleh makan lagi.




Yang ni bukan tukang masak, tapi tukang kacau saja.



Menu hari ni ialah semua berasaskan daging. Ada gulai daging dengan rebung, sup tulang dan daging masak kicap.                                                              





Pukul 1 petang, semua lauk siap di masak dan boleh makan dah. Hidangan disediakan secara buffet, mudah dan senang diurus. Tak payah pakai mentara untuk mengangkat hidangan kepada tetamu yang datang.



Pada pukul 4 petang, jemputan yang datang dah mula reda sikit. Para petugas kenduri pun dah letih melayan tetamu. Jadi bolehlah duduk berehat sambil minum kopi.

Pukul 5 petang , kenduri pun selesai. Apa lagi, punggah khemah, basuh pinggan dan periuk belanga. Pukul 6 petang semua beres. Semua berasa letih tapi puas hati kerana  dapat melaksanakan qurban tahun ini dengan jayanya. Kalau ada yang tak puas hati ke, terkecil hati ke,  minta maaf la.
Insya Allah, kalau panjang umur tahun depan akan buat qurban lagi. Terima kasih kepada semua!



Ahad, November 15, 2009

Zaman Persekolahan



Gambar ini diambil masa aku dalam Darjah 6 di Sekolah Kebangsaan Kuala Kupang iaitu pada tahun 1970. Dah hampir 39 tahun usia gambar ni, namun masih elok dalam simpanan. Dua orang cikgu dalam gambar ini iaitu disebelah kanan ialah guru kelasku iaitu  Allahyarham Ismail Hamzah dan yang disebelah kiri pula ialah Cikgu Hj Mohammad bin Saad. Nama kawan-kawan dalam kelas ni,banyak yang dah tak ingat. Kalau nak tahu nama mereka, klik di sini

 


Pada tahun 1971, aku berada di Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kuala Pegang. Persekolahan waktu itu ada dua aliran iaitu aliran Melayu dan aliran Inggeris. Aku memilih untuk belajar di aliran Melayu kerana aliran Inggeris kena bayar yuran setiap bulan. Untuk pergi ke sekolah, aku terpaksa naik bas, tambangnya 5 sen sehala. Jadi pada masa tu bawa duit 30 sen, 10 sen untuk tambang pergi balik dan 20 sen untuk makan. Tapi, selalunya emak aku sediakan bekal nasi bungkus. Aku bawa lebih nasi bungkus dan jual pada kawan-kawan. Guru kelas ialah seorang guru sementara namanya Cikgu Rohani. Masa tu semua pelajar lelaki pakai seluar pendek warna putih, perempuan pula pakai skirt warna biru.



Ini pula gambar masa aku di Tingkatan 2 pada tahun 1972. Nama guru kelas aku Mr. Tan Chong Teng. Dia ajar mata pelajaran Sains Pertanian. Kami diajar cara nak buat batas dan tanam sayur di kawasan belakang sekolah. Aku masa tu jadi Ketua Kelas sebab duduk sebaris dengan cikgu( barisan kedua, no. 2 dari kanan). Ada sorang pelajar keturunan India dalam kelas ni, nama dia Ganeson. Dengar kata dia kerja besar juga, jadi Pengarah Jabatan Perpaduan di Pahang(kalau tak silap aku). Aku selalu  jumpa abang dia (bila balik kampung isteri aku) yang berniaga kedai runcit di pekan Labu Besar




Tahun 1973, aku berada di Tingkatan 3. Tahun ni ambil periksa SRP. Guru kelas ialah Cikgu Saad. Aku jadi pengawas masa tu, sebab tu pakai tie ( barisan depan , 3 dari kanan). Ramai kawan-kawan yang jadi cikgu seperti Rosdi Mahmud (barisan belakang, 3 dari kiri), Rosli Lazim (barisan belakang, 5 dari kiri) Ismail Jaeh (barisan kedua, kanan sekali) dan Badriah Hj Yaacob(barisan depan, 2 dari kiri). Yang jadi Wakil Rakyat pun ada iaitu YB Md Zuki Yusof , ADUN Kuala Ketil(barisan belakang, 7 dari kiri). 

 

Antara nama-nama yang aku ingat, barisan belakang dari kanan : Muzni Idris,Shukur Md Piah, Aziz Kadir,Sabri Che Rus, Rahim Md Noh, Md Zuki Yusof, Halim Md Nor, Rosli Lazim, Ganeson,Rosdi Mahmud, Md Noh dan Shahrin Ibrahim. Yang perempuan banyak dah tak ingat nama. Dia manakah mereka ni berada? 
Kalaulah boleh jumpa semula semua kawan-kawan ni, alangkah seronoknya.