Khamis, Disember 17, 2009

Air Zam-Zam

Dalam seminggu dua ni, ramai la jemaah haji pulang dari Tanah Suci Mekah. Ramai kawan-kawan yang dah pulang dan diharapkan mendapat Haji yang mabrur, selain membawa buah tangan untuk sanak saudara dan sahabat handai. Antaranya yang pasti dibawa pulang ialah buah tamar, tasbih, sejadah (made in China), kepiah putih dan tentunya Air Zam-Zam. Sesiapa yang datang menziarah akan diberikan salah satu daripada benda-benda itu sebagai tanda ingatan. Sambil tu mestilah dihidangkan air zam-zam untuk diminum dalam cawan tembaga yang kecil (yang dibeli di Mekah juga)

Sebut pasai air zam-zam ni, pernah terjumpa satu artikel mengenai air zam-zam seperti di bawah ini:



Seorang Ustaz telah bercerita bahawa dia telah berkesempatan menghadiri satu seminar mengenai AIR yang berlangsung di Hotel Istana baru-baru ini yang mana kebanyakan peserta yang hadir terdiri daripada orang bukan Islam kecuali 2 orang (Ustaz Abdullah dan seorang Pensyarah dari UM).
Penceramahnya seorang Profesor yang pakar tentang air dari Jepun. Beliau menunjukkan hasil kajiannya mengenai air, beberapa slide ditunjukkan dan dipancarkan dilayar putih kepada hadirin sekelian. Sampel-sampel air yang diambil dari berbagai sumber air (sungai, laut, perigi dan bermacam lagi).

Maka terpancarlah berbagai-bagai rupa bentuk susunan molekul-molekul air tersebut. Ada yang berupa seolah-olah seperti jin tetapi samar-samar, tidak begitu jelas (dengan telinga yang besar, bertanduk dan sebagainya) rupa yang menggerunkan dan menakutkan. Lalu Profesor itu berkata “banyak lagi sampel-sampel air yang lain tetapi rupa molekul-molekulnya hampir sama, sekarang saya nak tunjukkan sampel air yang berlainan dari sampel-sampel air yang saya tunjukkan tadi”.

Profesor itu pun tunjukkan, maka terpancarkan satu rupa bentuk molekul air yang tersusun cantik berupa seolah-olah seperti berlian (bersegi-segi), bersinar-sinar dan sinarannya mengeluarkan warna-warna yang menarik melebihi 12 warna. MasyaAllah, cantik. Lalu profesor bertanya “Siapakah di antara kamu semua yang tahu sampel air apakah ini”.

Hadirin semua senyap, dan kemudian, Pensyarah dari UM mengangkat tangan dan menjawab “saya rasa itu adalah sampel air zam-zam”.


Profesor berkenaan memanggil Pensyarah tersebut naik ke atas dan bertanya “Berikan saya sebab kenapa awak berkata air itu adalah air zam-zam.


“Kerana air zam-zam adalah air yang termulia di dunia ini” Jawab Pensyarah.
Profesor berkata “Saya tak tahu sama ada betul atau tidak air zam-zam itu mulia tetapi memang betul ini adalah sampel air zam-zam.”




Kemudian Professor mengatakan bahawa, kata-kata juga dapat mempengaruhi rupa bentuk molekul-molekul air. Lalu didalam dewan itu mereka membuat experiment bagaimanakah yang dikatakan kata-kata dapat mempengaruhi rupa bentuk molikul-molikul air.


Semua hadirin dikehendaki membaca sesuatu kepada air mineral masing-masing. Lalu seorang volunteer bangun untuk menguji bagaimana rupa air yang telah dibaca. Bila ditunjukkan di skrin, nampak molekul air membentuk seolah-olah seperti tokong cina (dengan janggut yang panjang dan perut yang buncit).

Bila tiba giliran Ustaz, air yang dibaca dengan Al-Fatihah, Selawat dan Ayat Kursi maka nampaklah rupa molekul air seperti berlian dan berkilau-kilau… Subhanallah. Lalu Ustaz disuruh oleh Profesor membaca sebarang ayat/kata-kata yang tidak baik… maka nampaklah di skrin molekul air berupa seperti sel-sel barah.
Subhanallah… daripada ceramah yang Ustaz sampaikan ini marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripadanya.

Ini adalah kata-kata dari Ustaz Abdullah: “Jika hendak air itu merasa manis maka masukkanlah gula, jika hendak air itu berwarna maka masukkanlah pewarna dan jika hendak air itu mulia maka masukanlah ayat-ayat yang mulia kepadanya”. Wassalam.

Sumber : http://shafril.com/


Selasa, Disember 15, 2009

Hikmah Solat Dalam Kajian Saintifik

Kajian saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia. Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir. Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?

2. Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia. Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.

3. Ng Siew Chok memakai topi elektrod untuk mengkaji gelombang otak. Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok. Penggerak kajian ini ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot. 
 
4. SOLAT terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia. "Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh," katanya. Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains' terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris. Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.

5. Seorang doktor perubatan dari Indonesia , Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud. Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.

6. Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang. Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu. Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.

 7. "Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran," katanya. Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit. Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.
 
8. Sembahyang juga boleh rawat penyakit kritikal. Prof Dr Wan Abu Bakar  bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains. Hasil kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh. Berita Minggu mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil kajian masing-masing. Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas ( Aktiviti Otot ) - Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.
 
9. "Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh," katanya. Dr Fatimah meneliti kertas bacaan ujian yang keluar dari alat analisis penyepadanan bio. Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

10. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenalpasti otot yang aktif ketika solat. Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh
diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.


"Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang," katanya. Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur. " Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah," katanya. Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang. Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.


11. Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.
Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh - Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak. Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah. "Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain," katanya.

12. Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir. Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik. Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.


"Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh. "Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif," katanya.


13. Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang. Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan. Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.


14. Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat. Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot. Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan. "Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat," katanya.

15. Solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut. Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus. "Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal," katanya. Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit.

16. Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring. "Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya.


17. Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

Dipetik dari : Berita Minggu

Rabu, Disember 02, 2009

Lama Tak Jogging

Lama betul tak berjogging. Dulu waktu petang selepas balik kerja, selalu juga jogging ikut trek belakang Taman Bersatu. Dah hampir 4 bulan tak jogging rasa sakit-sakit badan. Berat badan pun dah bertambah, walaupun tak timbang tapi tau berat bertambah pasai seluar makin ketat terutama kat pinggang. Simpan banyak lemak la tu.

Petang kemarin, selepas balik kerja,aku ajak teman baikku (isteriku la..) pergi berjogging . Trek jogging yang biasa guna selalu tu tak jauh, depan rumah je.


Inilah trek jogging yang selalu aku guna di belakang Taman Bersatu. Trek ni asal jalan berbatu dan hujungnya akan bertemu dengan jalan tar yang menuju ke Caruk Nau. Terkejut juga tengok jalan ni yang dah semak dan lecah teruk. Dalam hati ni rasa nak marah kepada orang-orang yang tak bertanggung jawab merosakkan jalan ni.



Sekarang ni musim hujan, jalan jadi cukup lecah. Kena berhati-hati takut terjatuh dalam selut. Yang sakit hati tu, kita kena masuk dalam semak untuk elak jalan yang air bertakung tu. Mood nak berjogging pun hilang.




Tengok la, betapa teruknya jalan ni. Bekas tayar lori menyebabkan air bertakung dan berlubang-lubang. Bila sampai kawasan ni, kena jalan kaki tak boleh nak berlari. Silap-silap tersungkur dalam lopak air tu.


Jadi masa berjogging tak berapa lancar, sat berjalan, sat berlari, pasai kena langkah kawasan yang lecah.



Yang paling sakit hati, ada orang dok buang batu, kayu kat sini. Bukan buang dalam hutan tapi tepi jalan. Banyak longgokan batu dan kayu dituang disepanjang jalan trek jogging ini. Betul-betul tak ada otak!





Selepas jalan yang lecah tadi, baru la jumpa jalan tar. Sedaplah sikit berjogging. Tapi letih sampai ternganga pasai dah lama tak jogging!.

Ahad, November 29, 2009

Hari Raya Qurban

Hari Raya Haji atau Hari Raya Iedul Adha 1430H jatuh pada 27 November 2009 iaitu pada hari Jumaat. Umat Islam yang mampu disyariatkan berqurban dengan binatang sembelihan seperti kambing, kibas, lembu atau kerbau. Biasanya di sini, binatang sembelihan ialah lembu.




Pada Hari Raya Haji yang ketiga, bersamaan 29 November 2009, penduduk di Taman Bersatu telah mengadakan korban. Sebanyak empat ekor lembu ditumbangkan pada hari itu. Seawal pukul tujuh pagi, semua yang terlibat telah berada di tempat korban. Untuk merebahkan lembu, nampak saja mudah. Tapi kalau tak biasa, susah juga kalau lembu yang agak liar sikit. Dalam hal ini, serah saja pada Saad, dia pandai menjerat kaki lembu dan merebahkannya.




Selepas lembu diikat dengan kemas pada pokok, barulah boleh disembelih dengan pisau yang tajam. Kali ini tukang sembelih ialah Haji Ahmad, bilal Masjid Titi Teduri. Sambil bertakbir, pisau yang tajam memutuskan urat-urat pada leher lembu. Tumbanglah seekor lembu qurban yang pertama.



Setelah lembu menghembuskan nafas yang terakhir, kulitnya terus dilapah. Ini satu lagi kerja yang memerlukan kemahiran. Selain daripada Jamalulil ( orang Taman Bersatu), dipanggil juga tukang lapah dari Kuala Pegang. Mereka ni cukup mahir, tak sampai setengah jam, siap lapah kulit dan belah perut lembu tu.




Ini  pula lembu yang kedua disembelih. Yang seekor ini agak liar sikit, susah juga nak rebahkan lembu ni. Mungkin kerana lembu ni tak pernah kena tambat oleh tuannya, sebab tu jadi liar sikit. Semua lembu yang diqurbanlan adalah lembu jantan yang sihat dan agak berisi. Tentu banyak daging ni.


Ini pula lembu yang ketiga bersedia untuk disembelih. Sebelum sembelih, kena pastikan ikatan tali kemas dan lembu dipegang dengan kuat. Ini untuk mengelakkan lembu tu menggelupur dan memudahkan Haji Ahmad menjalankan tugasnya. Masa ni, khidmat orang berbadan besar sangat diperlukan. Ada yang pijak kaki lembu dan ada yang naik atas badan lembu tu.




Lembu yang keempat sedang diikat untuk disembelih. Dalam empat ekor lembu yang disembelih tu, dua ekor untuk aqiqah dan dua ekor lagi untuk qurban. Daging lembu yang buat aqiqah akan dimasak untuk kenduri yang dibuat di rumah Mohd. Dami. Lagipun dia memang nak buat kenduri menyambut menantu perempuannya dari Kuala Lumpur. 





Selepas dilapah, daging, tulang dan perut lembu qurban dibuat 7 bahagian atau 7 tumpuk bagi seekor lembu untuk diagihkan kepada orang yang masuk qurban.Setiap orang yang masuk qurban akan dapat 5 kg daging dan 2 kg tulang. Yang selebihnya pula diberi kepada orang miskin dan sahabat handai.



Masa nak masak daging aqiqah buat kenduri, semua pakat-pakat bergotong royong untuk menyediakan bahan-bahan untuk memasak. Pihak perempuan biasalah kerja potong bawang dan sebagainya.


Tukang masak pula sibuk kena masak  nasi dulu. Ada nasi putih dan nasi kuning. Kali ini  yang masak nasi ni, Rahman Che Mat dengan Pak Id (Shuib). Kalau masak lauk pula, tukang masaknya ialah Jamalulil, Saad  dan rakan-rakan. Masakan depa ni memang sedap dan telah terbukti.


Nak potong daging lembu dua ekor ni bukan senang, kena ramai orang bantu. Inilah untungnya kerjasama penduduk dalam Taman Bersatu ni. Semua datang tolong potong daging dan cincang tulang. Yang berdiri pakai baju merah kuning tu, ketua pakatan kenduri Taman Bersatu ni, nama dia Pak Long Man tengah dok edar tuala kepada semua orang.




Biasanya yang potong daging ni, ialah kaum lelaki. tetapi kerana daging terlampau banyak, kaum wanita pun turut sama membantu. Kalau tidak, pukul dua petang pun tak boleh makan lagi.




Yang ni bukan tukang masak, tapi tukang kacau saja.



Menu hari ni ialah semua berasaskan daging. Ada gulai daging dengan rebung, sup tulang dan daging masak kicap.                                                              





Pukul 1 petang, semua lauk siap di masak dan boleh makan dah. Hidangan disediakan secara buffet, mudah dan senang diurus. Tak payah pakai mentara untuk mengangkat hidangan kepada tetamu yang datang.



Pada pukul 4 petang, jemputan yang datang dah mula reda sikit. Para petugas kenduri pun dah letih melayan tetamu. Jadi bolehlah duduk berehat sambil minum kopi.

Pukul 5 petang , kenduri pun selesai. Apa lagi, punggah khemah, basuh pinggan dan periuk belanga. Pukul 6 petang semua beres. Semua berasa letih tapi puas hati kerana  dapat melaksanakan qurban tahun ini dengan jayanya. Kalau ada yang tak puas hati ke, terkecil hati ke,  minta maaf la.
Insya Allah, kalau panjang umur tahun depan akan buat qurban lagi. Terima kasih kepada semua!



Ahad, November 15, 2009

Zaman Persekolahan



Gambar ini diambil masa aku dalam Darjah 6 di Sekolah Kebangsaan Kuala Kupang iaitu pada tahun 1970. Dah hampir 39 tahun usia gambar ni, namun masih elok dalam simpanan. Dua orang cikgu dalam gambar ini iaitu disebelah kanan ialah guru kelasku iaitu  Allahyarham Ismail Hamzah dan yang disebelah kiri pula ialah Cikgu Hj Mohammad bin Saad. Nama kawan-kawan dalam kelas ni,banyak yang dah tak ingat. Kalau nak tahu nama mereka, klik di sini

 


Pada tahun 1971, aku berada di Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kuala Pegang. Persekolahan waktu itu ada dua aliran iaitu aliran Melayu dan aliran Inggeris. Aku memilih untuk belajar di aliran Melayu kerana aliran Inggeris kena bayar yuran setiap bulan. Untuk pergi ke sekolah, aku terpaksa naik bas, tambangnya 5 sen sehala. Jadi pada masa tu bawa duit 30 sen, 10 sen untuk tambang pergi balik dan 20 sen untuk makan. Tapi, selalunya emak aku sediakan bekal nasi bungkus. Aku bawa lebih nasi bungkus dan jual pada kawan-kawan. Guru kelas ialah seorang guru sementara namanya Cikgu Rohani. Masa tu semua pelajar lelaki pakai seluar pendek warna putih, perempuan pula pakai skirt warna biru.



Ini pula gambar masa aku di Tingkatan 2 pada tahun 1972. Nama guru kelas aku Mr. Tan Chong Teng. Dia ajar mata pelajaran Sains Pertanian. Kami diajar cara nak buat batas dan tanam sayur di kawasan belakang sekolah. Aku masa tu jadi Ketua Kelas sebab duduk sebaris dengan cikgu( barisan kedua, no. 2 dari kanan). Ada sorang pelajar keturunan India dalam kelas ni, nama dia Ganeson. Dengar kata dia kerja besar juga, jadi Pengarah Jabatan Perpaduan di Pahang(kalau tak silap aku). Aku selalu  jumpa abang dia (bila balik kampung isteri aku) yang berniaga kedai runcit di pekan Labu Besar




Tahun 1973, aku berada di Tingkatan 3. Tahun ni ambil periksa SRP. Guru kelas ialah Cikgu Saad. Aku jadi pengawas masa tu, sebab tu pakai tie ( barisan depan , 3 dari kanan). Ramai kawan-kawan yang jadi cikgu seperti Rosdi Mahmud (barisan belakang, 3 dari kiri), Rosli Lazim (barisan belakang, 5 dari kiri) Ismail Jaeh (barisan kedua, kanan sekali) dan Badriah Hj Yaacob(barisan depan, 2 dari kiri). Yang jadi Wakil Rakyat pun ada iaitu YB Md Zuki Yusof , ADUN Kuala Ketil(barisan belakang, 7 dari kiri). 

 

Antara nama-nama yang aku ingat, barisan belakang dari kanan : Muzni Idris,Shukur Md Piah, Aziz Kadir,Sabri Che Rus, Rahim Md Noh, Md Zuki Yusof, Halim Md Nor, Rosli Lazim, Ganeson,Rosdi Mahmud, Md Noh dan Shahrin Ibrahim. Yang perempuan banyak dah tak ingat nama. Dia manakah mereka ni berada? 
Kalaulah boleh jumpa semula semua kawan-kawan ni, alangkah seronoknya. 





Rabu, Oktober 28, 2009

Gambar Dulu-Dulu

Baru-baru ini, aku selongkar album-album lama. Banyak gambar-gambar masa kecik-kecik dulu yang tersimpan. Gambar hitam putih itu yang hampir kabur ditelan usia. Ada gambar yang dah berusia lebih dari 30 tahun lamanya. Oleh itu aku ambil keputusan untuk simpan dalam blog supaya kekal lama. Boleh juga untuk tatapan anak cucu nanti. Kalau simpan dalam album, lama-lama akan rosak gambar tu.





Salah satu gambar potret aku yang diambil masa aku dalam Darjah 5 iaitu pada tahun 1969. Gambar ini diambil untuk buat pasport untuk pergi ke Medan, Indonesia. Tapi tak jadi pergi kerana beberapa masalah. Yang pergi ke Medan hanya ayah dan emak aku saja. Saudara mara sebelah emak aku banyak di sana. Gambar ini di'tangkap' di kedai gambar di pekan Kupang. Pada masa itu hanya ada sebuah kedai gambar di Pekan Kupang iaitu Kedai Gambar Ah Yu. Gambar yang diambil menggunakan kamera yang besar dan tukang gambar itu dan kamera ditutup dengan kain hitam semasa nak "tangkap" gambar. 



Inilah gambar asal di atas yang aku ambil dari pasport emak aku. Pasport tu dah rosak jadi yang tinggal hanya gambar ini sahaja untuk simpanan. Gambar yang dibelah kanan ialah adik aku, Siti Balkhis. Dia dah berkahwin dengan orang Tanjung Karang dan sekarang menetap di Kuala Selangor.


Gambar ini pula, kalau tak silap, diambil masa aku berumur 18 tahun. Masa tu baru habis sekolah menengah, jadi ambil gambar untuk mengisi borang permohonan melanjut pelajaran atau Borang SPA- nak minta kerja.





Masa ni berambut panjang sikit. Trend  tahun 1979. Pada masa itu, aku sedang belajar di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang. Semasa di maktab, aku menyewa rumah di Kg Bukit Dumbar, Jelutong, Pulau Pinang.
Semasa menuntut di maktab, aku dan 6 orang kawan menyewa rumah Pak Cik Noordin. Mana pergi kawan-kawan aku ni ..Saadon , Shaari dan Ghazali (Selangor) Zaki (Terengganu)  Rosli (Kampar) dan Rahim (orang Kupang dan sekarang tinggal di KL). Dengan Rahim, aku pernah jumpa beberapa kali tapi yang lain langsung tak pernah jumpa hampir 30 tahun.





Gambar ini pula diambil pada tahun 1975 semasa aku di Tingkatan 5. Masa tu belajar di Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Petani. Kami dalam Tingkatan 5 belajar aliran Sains dan cikgu yang mengajar mata pelajaran Biologi adalah dari Indonesia. Aku dah lupa namanya. Gambar ni diambil dalam makmal Biologi selepas buat ujian grup darah. Semua kami dalam gambar ni adalah darah grup A ( ada huruf A yang dipegang oleh pelajar perempuan dalam gambar tu) .
Pada masa itu, pelajar lelaki memakai seluar pendek dan perempuan memakai skirt. Yang pakai baju kurung hanya beberapa orang sahaja. Nama kawan yang di sebelah kiri ialah Md Nazir dan di sebelah kanan namanya Razak "Dumin" ( sebab dia pandai buat iklan Dumin). Yang perempuan cuma ingat nama Ramlah (yang pakai baju kurung).

Jumaat, Oktober 16, 2009

Puasa Agar Sihat






Kita sudah sampai penghujung bulan puasa, bermakna telah lebih 20 hari kita mengerjakan ibadah puasa. Sudah tentu kita yang menunaikan ibadah puasa telah mendapat manfaat dari ibadah puasa. Salah satu hikmah atau manfaat yang kita dapat ialah kesihatan rohani dan jasmani.


Adakah anda semua ingin sihat bukan?. Kalau ya, mari kita lihat hadis Nabi SAW yang bermaksud, ”Berpuasalah kamu agar kamu sihat”
Demikianlah bunyi hadis Nabi yang menerangkan keutamaan puasa untuk menjaga kesihatan, baik kesihatan jasmani mau pun kesihatan rohani. Menahan diri dari makan, minum dan hubungan intim suami isteri di siang hari, sejak terbit fajar hingga terbenam matahari selama lebih kurang 30 hari, tentu akan menyihatkan tubuh badan kita secara fizikal.


Melalui kewajipan berpuasa yang dilaksanakan dengan baikdan berkualiti tentu mampu meningkatkan kualiti fizikal dan kesegaran jasmani manusia.

Selasa, Oktober 13, 2009

Jamuan Aidilfitri 2009



Pada 7 Oktober 2009 (bersamaan 18 Syawal 1430H) yang lalu, ofis telah mengadakan jamuan raya sempena Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Walaupun setelah 18 hari berlalu Hari Raya, namun sambutan tetap meriah. Agak terlewat sedikit kerana ditunda beberapa kali untuk mencari tarikh yang sesuai supaya semua dapat hadir termasuk bos.


Tahun ini jamuan dibuat secara tertutup, tidak seperti tahun lalu yang dibuat "open house" kerana bajet tak mengizinkan.Berbagai hidangan disediakan untuk menjamu selera. Ada lemang, ketupat, kuih, laksa, bihun, sate dan lain-lain. Namun, nasi tomato dengan dengan ayam masak merah yang dipilih dulu.


Makanan dan kuih muih ada yang ditempah dan ada yang dibawa dari rumah. Selain daripada kuih raya yang beraneka jenis, ada juga kek. Kek tu ada "sponsor".


Masa ni la nak melaram dengan baju raya yang dipakai pada hari raya dulu. Yang ini  dari Unit Kewangan sedang menunggu untuk menjamu selera.


Selain daripada staf pejabat ini, bekas staf yang pernah bertugas di sini juga dijemput. Che Ros yang telah bertukar sudi menerima jemputan dan datang. Nasib baik dia datang, kalau tidak, banyak makanan tak habis!



Hasnida dari Unit Perkhidmatan sedang menjamu selera bersama Nany. Sedap nampaknya makan lemang dicicah dengan rendang.



Banyak cerita pasai buat kuih raya yang diceritakan oleh Jamaliah kepada Faizah. Sembang tu sembang juga tapi jangan lupa ambil makanan yang banyak tersedia tu..




Berselera nampaknya Haslina dan Kasrina menikmati jamuan raya ni. Tahun depan kalau boleh buat lah open house macam tahun lepas. Nampak meriah sikit. Pasang khemah dan jemput orang ramai. Kena tanya orang dari Unit Kewangan,boleh kot, Ina?...