Jumaat, Oktober 17, 2008

Pantun Lama-lama

Pantun Melayu lama amat indah bahasanya. Saya terjumpa pantun lama ini dalam sebuah buku yang dibaca baru-baru ini. Antara pantun-pantun itu ialah:

Empat kepul satu cupak,
Empat cupak satu gantang;
Tidak betul ibu bapak,
Anak pinak lintang pukang.


Anak raja memikul kayu,
Kayu hendak dibuat titi;
Satu saja penyakit Melayu,
Hasad dengki dalam hati.



Ada juga pantun yang lucu. Pantun ini menyindir terhadap masyarakat sekeliling yang berkiatan dengan agama. Cuba hayati pantun-pantun di bawah ini :

Cabai ini cabai melaka,
Masak sebiji tergantung-gantung;
Lebai ini lebai celaka,
Hingar bingar dalam kampung.


Terhinggut-hinggut tergoyang-goyang,
Gulai lemak buah kabu;
Taruh janggut tidak sembahyang,
Buat semak bawah dagu!.


Pantun yang puitis dan bahasa berbunga-bunga jarang kita baca akhir-akhir ini. Pembayang pantun ini menggunakan bahasa yang cukup indah. Cuba baca pantun lama ini :

Mekar kasturi tumbuhnya tinggi,
Dihela pawana hujungan kota;
Taat diri tiada berbagi,
Amanah dijana janji dikota.


Burung merpati terbang ke hutan,
Hinggap seekor di tepi denai;
Tuan umpama cahaya intan,
Bagai zamrud baru dicanai.

Kapal belayar patah kemudi,
Ambil bangku bawa berenang;
Tuan seorang yang baik budi,
Itulah sebab duduk mengenang.

Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Mekar kenangan sepanjang zaman.


Ini pula pantun enam kerat. Maksud yang tersirat dalam pantun ini sungguh mendalam. Kalau tak faham.. tanyalah pada orang tua-tua:

Kalau pergi merantau,
Yu beli belanak pun beli,
Ikan parang beli dahulu;
Kalau anak pergi merantau,
Ibu cari anak pun cari,
Induk semang cari dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan